Tahniah diucapkan buat penyanyi Black dan isterinya, Cira yang baru sahaja menimang cahaya mata pertama yang dilahirkan pada jam 7.48 petang semalam. Bayi lelaki yang dilahirkan secara normal dengan berat 2.09KG ini dilahirkan sebulan lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan.
"Alhamdulillah isteri saya sihat. Begitu juga dengan anak saya. Walau bagaimanapun kini anak saya masih ditempatkan di wad NICU yang dikhaskan untuk kanak-kanak baru lahir. Wad tersebut bukanlah untuk kanak-kanak yang kritikal. Anak saya perlu ditempatkan di situ kerana dia lahir tidak cukup bulan dan perlu mendapatkan sedikit lagi antibiotik tambahan untuk mengelakkan dia terkena apa-apa jangkitan.
"Tetapi kini alhamdulillah kerana dia sudah boleh minum susu dan jika tidak ada apa-apa dalam sehari dua lagi anak dan isteri saya sudah dibenarkan keluar," ujar Black yang dihubungi Media Hiburan Online sebentar tadi.
Penyanyi lelaki ini juga turut berkongsi perasaannya yang mendapat peluang menemani isteri kesayangan sepanjang di bilik bersalin.
"Air ketuban isteri saya pecah awal kerana terkena jangkitan. Dia sakit dalam dua hari juga. Selepas dua hari, petang semalam barulah rahimnya terbuka. Ketika lahir anak saya tidak menangis dan memberikan respon walaupun ditepuk. Hampir 10 minit jugalah doktor yang bertugas berusaha. Ketika itu, saya rasa sangat resah dan 10 minit kemudian barulah terdengar tangisannya. Saya tergamam hingga tidak mampu berkata apa-apa.
"Saya rasa terlalu teruja sehinggakan tidak berselera untuk makan. Manakan tidaknya, sekejap-sekejap saya akan menjenguk isteri, sekejap-sekejap saya akan menjenguk anak," kata Black lagi yang sudah hampir 4 hari berkampung di Sime Darby Medical Centre Petaling Jaya.
Ditanya kenapa berita gembira tersebut disembunyikan, ini jawab Black,
"Semalam saya tidak mahu ianya diketahui sesiapa kecuali keluarga dan rakan-rakan terdekat kerana keadaan bayi saya yang lahir tidak cukup bulan. Hari ini Alhamdulillah semuanya bertambah baik dan kini saya sudah sedia berkongsi berita gembira ini dengan umum. Walau bagaimanapun, foto bayi kami masih belum boleh dikeluarkan kerana dia masih berada dalam rawatan khas. InsyaAllah tidak lama lagi saya akan kongsikan wajahnya," ujar Black yang mengakui anak sulungnya ini berkulit cerah seperti ibunya.
Media Hiburan | 14 Januari 2015