"Institusi diraja akan menjadi tidak bererti dan akhirnya unsur Islam juga tiada tempat di negara ini. Inilah matlamat di sebalik penghinaan raja iaitu memastikan Islam tiada tapak kerana tapaknya ialah institusi diraja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, pelukis tersebut juga seolah-olah memprovokasi rakyat melalui tajuk digunakan.
“Pelukis menukar tajuk daripada slogan Keranamu Malaysia kepada Kenapamu Malaysia. Ia seolah-olah membawa mesej mengapa perlu ada raja dan secara tidak langsung menjejaskan kesetiaan rakyat kepada raja,” katanya.
Menurutnya lagi, sebagai pelukis, Leong mempunyai pelbagai pilihan lain sebagai subjek lukisannya.
“Memang benar bahawa setiap individu mempunyai persepsi atau penilaian berbeza terhadap sesuatu hasil seni. Namun, mengapa pelukis memilih raja sedangkan terdapat banyak objek lain yang boleh dilukis?
“Jadi itu yang menimbulkan persoalan mengenai motif lukisan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Leong.
“Sebelum ini pun sudah banyak kes seperti menghina bendera dan lagu Negaraku. Malangnya tiada tindakan tegas kepada individu berkenaan.
“Namun, sekarang ada individu yang lebih berani menghina raja. Jadi kita harap kerajaan dapat mengenakan tindakan segera kepada Leong supaya menjadi pengajaran kepada rakyat,” katanya.
Minta polis panggil Leong
Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya mempersoalkan mengapa Leong menghasilkan lukisan begitu.
“Sekiranya dia seorang rakyat Malaysia, dia perlu melukis gambar itu dari sisi depan dengan cantik. Ia adalah satu cara untuk menunjukkan rasa hormatnya kepada institusi beraja dan ini adalah salah satu cara untuk memperkenalkan Yang di-Pertuan Agong kepada luar,” katanya.
Menurut beliau, lukisan seperti itu akan menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Adakah ini satu gerak kerja untuk menghapuskan institusi beraja?,” soalnya.
Abu Bakar turut meminta polis memanggil Leong bagi memberikan keterangan mengenai lukisan berkenaan.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup Abdullah pula berkata, gambar berkenaan adalah hasutan dan penghinaan kepada institusi beraja.
“Perkara ini boleh membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu,” katanya.
Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, Leong perlu mengetahui undang-undang serta perlembagaan negara dan tidak sepatutnya menghasilkan lukisan berkenaan.
Abdul Rani turut meminta polis menyiasat perkara itu secepat mungkin.
Selain seni dihasilkan Leong, pameran di Galeri Silverlens itu turut mempamerkan hasil kerja dua pelukis lain dari Filipina.
Menurut biografinya ditulis dalam laman web Galeri Silverlens, Leong dikatakan menumpukan seninya kepada tanggapan sosial yang salah dalam konteks budaya yang lebih besar.
Menurut laman web itu, Leong melihat kepada isu percanggahan dan kesukaran merangka kesedaran bangsa.
Usaha Sinar Harian untuk menghubungi Leong dan galeri tersebut tidak berjaya sehingga artikel ini diterbitkan.
Sinar Harian | 29 Januari 2015