Sungai Petani: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan berasingan kerana memiliki empat pucuk pistol dan 103 butir peluru hidup pelbagai jenis di Taman Ria minggu lalu.
Bagi pertuduhan pertama tertuduh Tan Kooi Kia, 53, dituduh bersama teman wanitanya Sai Yang a/p Pornchanok, 29, warga Thailand didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana mempunyai sepucuk pictol jenis Astra tanpa kebenaran sah dan membahayakan.
Tan yang berasal dari Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar dan teman wanitanya dari Chiangmai, Thailand didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4 petang di dalam bilik sebuah rumah sewa di Lorong 47, Taman Ria, di sini, pada 5 Januari lalu.
Kedua-dua mereka bagaimanapun minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama, kedua-dua mereka turut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana mempunyai sembilan butir peluru tanpa kebenaran sah dan membahayakan pada tarikh dan waktu sama.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuraswan Aminuddin itu, manakala tertuduh diwakili peguam Chong Seng Ming.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, Tan dikenakan empat pertuduhan yang dibaca secara berasingan kerana memiliki sepucuk pistol jenis Walther dan enam peluru jenis S&B 12 di dalam kereta jenis Toyota Estima putih kira-kira jam 1.15 pagi pada 7 Januari lalu.
|
Kooi Kia dan Sai Yang dibawa ke mahkamah. FOTO Shahrizal Md Noor |
Bagi pertuduhan seterusnya Tan juga didakwa melakukan kesalahan mengikutan akta sama kerana memiliki dua pucuk pistol jenis Beretta Gardone bersama 88 butir peluru pelbagai jenis di dalam sangkar anjing miliknya pada tarikh dan di rumah beralamat sama kira-kira jam 8 pagi.
Bagi keempat-empat pertuduhan itu Tan juga meminta agar dia dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ikmal Hisham Mohd Tajuddin.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pedakwa Raya Kedah Hasnurliza Mohd Radzi.
Hakim menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes, manakala tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.
Harian Metro | 15 Januari 2015