KEMAMAN - Tanda tanya kehilangan seorang bapa tiga anak yang tidak pulang ke rumah selama tiga hari terungkai apabila mayatnya ditemui terapung di sungai bawah Jambatan Lama Bukit Kuang kira-kira jam 9.50 pagi semalam.
Mayat Wan Kamarulzaman Wan Ahmad, 31, ditemui orang awam dalam keadaan bahagian wajahnya mengalami luka dipercayai akibat dimakan ikan atau haiwan lain serta turut ada kesan calar di kulit leher.
Ibunya, Fatimah Ismail, 59, berkata, anaknya itu yang masih tinggal bersamanya di Kampung Pengkalan Cicar tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu selepas keluar pada awal pagi.
“Lepas keluar rumah sejak pagi, makcik ada terserempak dengannya di sebuah kedai di kampung kami sekitar jam 11 pagi, tapi makcik tak sempat tegur dia.
“Itulah kali terakhir makcik tengoknya, pada waktu malamnya dia tak pulang ke rumah dan buatkan makcik sangat risau. Esoknya juga dia masih tak balik... jadi pada waktu malam makcik carinya di merata tempat di kawasan Bandar Chukai tapi masih tak jumpa,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman.
Menurutnya, perasaan bimbang yang dirasakannya sejak anaknya itu hilang akhirnya terjawab apabila ada penduduk datang memberitahu anaknya ditemui lemas pagi semalam.
Kata Fatimah, apa yang menyedihkannya, arwah sebelum ini turut mengalami masalah rumah tangga hingga menantunya yang tinggal bersama sudah lebih sebulan pulang ke kampung di Gong Badak, Kuala Terengganu bersama tiga anak yang berusia antara 2 hingga 7 tahun.
“Arwah pergi dalam keadaan tak sempat lihat wajah anak-anaknya buat kali terakhir. Tapi makcik sekeluarga reda dengan ujian besar ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.
Katanya, bedah siasat yang selesai pada jam 5 petang mendapati, kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan kesan kecederaan dialami disebabkan dimakan ikan atau haiwan.
“Doktor mengesahkan mangsa sudah tiga hari lemas berdasarkan keadaan mayat. Pun begitu, sampel darah diambil untuk pengesahan lanjut oleh pakar pejabat kimia dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sinar Harian | 8 Februari 2015