JOHOR BAHRU – Sebanyak 10 pusat pemindahan banjir dibuka susulan hujan lebat yang melanda beberapa daerah di negeri ini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negeri Johor, Datuk Ismail Karim berkata, lima daerah di negeri ini mula dilanda banjir melibatkan 537 penduduk dari 130 keluarga sehingga jam 4.30 petang, hari ini.
Antara daerah yang terlibat di Kluang, Muar, Batu Pahat, Segamat dan Kulaijaya.
Daerah Kluang mencatatkan jumlah pusat pemindahan terbanyak dibuka iaitu enam pusat menempatkan 432 penduduk daripada 105 keluarga iaitu tiga pusat di bandar Kluang, Ulu Benut (1); Renggam (1) dan Machap (1).
Manakala baki setiap satu pusat pemindahan dibuka di Muar melibatkan 18 penduduk, Batu Pahat (36); Segamat (25) dan Kulaijaya (26 mangsa).
Kawasan yang terjejas melibatkan penduduk di Bukit Kepong, Muar; Ayer Hitam, Batu Pahat; Air Manis, Kulaijaya dan Buloh Kasap, Segamat.
Tiada sebarang laluan ditutup atau kemalangan jiwa direkodkan.
Maklumat daripada Jabatan Meteorologi menyatakan terdapat angin kencang menumpu ke Johor yang akan menyebabkan hujan lebat.
Dijangkakan hujan lebat peringkat kuning dikeluarkan iaitu hujan monsun beserta angin kencang dijangka berlaku melibatkan Johor pada 28 hingga 30 Disember ini.
Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora perairan Johor bagi kategori kedua iaitu angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang berlaku di kawasan timur Johor dijangka sehingga 27 Disember.
Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.