GUA MUSANG - Sebanyak 15 pusat pemindahan banjir di Gua Musang terputus bekalan makanan selain elektrik dan air sejak enam hari lepas kerana bantuan tidak dapat disalurkan, kata Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Beliau berkata, bantuan sukar disalurkan berikutan semua jalan masuk ke daerah berkenaan dinaiki air menyebabkan ia terputus hubungan manakala helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan polis juga tidak dapat pergi ke sini berikutan kedudukan awan terlalu rendah.
"Jadi bantuan tidak dapat disalurkan dan bukannya sebab kita tidak mahu membantu," katanya kepada pemberita selepas misi menghantar bantuan Biro Kebajikan Umno Malaysia ke Parlimen Gua Musang di sini hari ini.
Abdul Azeez yang sebelum itu berlepas dari Pangkalan TUDM di Kuantan, turut membawa bersama tiga tan bekalan makanan untuk mangsa banjir di daerah berkenaan.
Katanya, sebaik sahaja jalan Kuala Lipis melalui Merapoh ke Gua Musang dibaiki malam ini, dua lori kontena akan membawa pelbagai bekalan keperluan dan makanan kepada mangsa banjir di daerah itu.
Beliau berkata, barangan tersebut adalah hasil sumbangan Biro Kebajikan Umno Malaysia serta badan bukan kerajaan (NGO). - Bernama
Sinar Harian
26 Disember 2014
Nota PH :
In Shaa Allah menjelang hari ini akan ada bantuan makanan sampai...PH tengok kat FB banyak agensi dan NGO packing barang bersedia untuk dihantar dengan menaiki helikopter tentera...Doakanlah semoga semua usaha penyelamat dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT...