|
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah menunjukkan pistol tiruan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini. - Foto Syahirah Abdullah |
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan polis kerana memiliki sepucuk pistol tiruan jenis Pietro Berreta Garoone V.T buatan Itali ketika serbuan dibuat di sebuah rumah di Kampung Aur Telemong Hulu Terengganu semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah, berkata pada 4.30 petang semalam atas maklumat orang awam pihaknya berjaya menahan suspek seorang buruh yang menyimpan pistol itu dalam sebuah bilik di bahagian dapur rumah tidak bernombor itu.
"Siasatan lanjut sedang diteruskan bagi mengenal pasti sama ada senjata pistol ini digunakan untuk kegiatan jenayah," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
Beliau berkata, selepas siasatan dibuat polis mendapati suspek turut mempunyai 12 rekod jenayah lampau merangkumi kes curi kenderaan, kes mencuri, memiliki harta curi, kes mencederakan, kes memiliki dadah serta dikenakan sekatan di bawah PCO (orang sekatan).
Katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine dan kes itu kini disiasat di bawah seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
-- BERNAMA