IPOH – Ketua Penerangan Perkasa Negeri Perak, Saad Abdul Rahman nekad meneruskan saman malu terhadap individu yang memukulnya di khalayak ramai di Kampung Kelantan, Lenggong, 8 Januari lalu.
Beliau berkata, saman tersebut akan difailkan dalam tempoh terdekat setelah semua maklumat yang diperlukan untuk kes berkenaan diperoleh peguamnya.
“Walaupun ada usaha untuk memujuk saya menarik balik laporan yang dibuat, namun saya tetap dengan pendirian untuk meneruskan saman malu.
“Jika sebelum ini dia nafi mencederakan saya, sekarang mengapa perlu untuk menghantar orang memujuk saya menarik balik laporan polis, biarlah proses undang-undang yang akan mengadilinya,” katanya.
Pada 8 Januari lalu, Saad dalam laporan polis mendakwa beliau dicekak dan ditumbuk individu berkenaan yang mengarahkan beliau tidak mempertikai serta mencampuri urusannya selaku Pemuda Umno.
Pertelingkahan itu dileraikan orang ramai dan Saad kemudiannya di bawa ke Klinik Kesihatan Lenggong bagi mendapatkan rawatan serta menerima tiga jahitan di bahagian kening sebelah kirinya.
Saad berkata, isu tersebut turut mendapat perhatian Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang terus memberikan semangat melakukan gerak kerja membantu mangsa banjir di Lenggong.
“Beliau ucapkan tahniah dan mahukan saya terus fokus membantu orang kampung bersama barisan kepimpinan sedia ada.
“Saya ada beritahu beliau mengenai hasrat saya (saman) dan turut menjelaskan kepadanya ia sebagai pengajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan kekerasan,” katanya.