KUALA KANGSAR: Kira-kira 200,000 tan metrik sampah akibat banjir dikumpulkan di negeri terbabit setakat ini dan dijangka mampu meningkat sehingga 400,000 tan metrik selepas pasca banjir.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata sehingga kini pihaknya sudah membuka tiga tapak pelupusan sampah sementara di Temerloh, Pahang, bagi memastikan sampah dapat dilupuskan dengan sempurna.
"Banjir turut mengakibatkan ada tapak pelupusan sampah yang rosak.
"Justeru, saya meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri terbabit membuka pusat pelupusan sampah sementara jika ada keperluan kerana kita mahu memastikan tahap kebersihan dan kesihatan sentiasa dijaga," katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menyertai gotong-royong dan meninjau keadaan di sekitar bandar Kuala Kangsar di sini hari ini.
Abdul Rahman juga berkata, anggaran awal kerosakan dialami kemudahan awam dan infrastruktur di PBT yang dilanda banjir setakat ini lebih RM100 juta.
Katanya, pihaknya menjangka kos itu kemungkinan meningkat sehingga RM200 juta yang diperlukan untuk pembersihan dan pembaikan harta awam di PBT.
Abdul Rahman turut meminta kerajaan Perak untuk menganggarkan kos kerosakan dialami sekitar Kuala Kangsar untuk perhatian segera kementeriannya bagi tindakan pembaikan.
Katanya, ia berikutan Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja akan menjadi lokasi utama pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada Mei ini.
|