KOTA BHARU: Bank Islam Malaysia Berhad menghulurkan sumbangan berjumlah RM1.2 juta kepada kerajaan Kelantan dalam usaha meringankan beban mangsa banjir selepas negeri ini dilanda bencana berkenaan bulan lepas.
Pengarah Urusannya Datuk Seri Zukri Samat berkata sumbangan itu termasuk wang tunai berjumlah RM200,000 yang disampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Fuadzi Che Mamat hari ini.
"Selain sumbangan tunai, Bank Islam juga memperuntukkan dana zakat bernilai RM1 juta untuk menampung kos membina dan membaik pulih rumah mangsa banjir yang musnah dan rosak teruk," katanya kepada pemberita pada majlis sumbangan bantuan banjir Bank Islam di sini, hari ini.
Zukri berkata sumbangan itu akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui kerajaan negeri yang lebih arif tentang keadaan dan kerugian yang dialami mangsa.
"Kami harap sumbangan ini dapat membantu mangsa yang terlibat sekali gus meringankan beban yang ditanggung mangsa untuk meneruskan kehidupan," katanya.
-BANJIR-SUMBANGAN 2 (AKHIR) KOTA BAHARU
Katanya sebagai badan korporat yang prihatin, Bank Islam juga mengambil langkah proaktif untuk membantu meringankan beban mangsa melalui beberapa inisiatif tertentu di bawah Program Prihatin Bank Islam.
"Antaranya permohonan menggantikan kad debit dan buku akaun yang hilang atau musnah tidak akan dikenakan yuran permohonan," kata Zukri.
Selain itu, pelanggan perkhidmatan pembiayaan Peribadi-i, Kenderaan-i dan Rumah-i juga boleh memohon penangguhan pembayaran bulanan mereka selama enam bulan.
Katanya Bank Islam juga memberi pengecualian Yuran Ganti Rugi (Ta'widh) untuk bayaran pembiayaan yang lewat dibuat, bagi tempoh dari 5 Dis 2014 hingga tarikh penyerahan permohonan untuk pengecualian itu.
"Bank Islam turut menghantar Skuad Amal bagi membantu membersihkan rumah kakitangan yang juga merupakan mangsa tragedi banjir selain memberi sumbangan keperluan asas.
Berita Harian Online
12 Januari 2015