PENGACARA dan pelawak terkenal Indonesia, Olga Syahputra atau nama sebenarnya Yoga Syahputra dilaporkan meninggal dunia semalam di Singapura selepas menderita kanser meningtis sejak 2013, lapor portal berita, Liputan6.com.
Berita sedih itu disahkan pengurusnya, Vera Zanobia melalui panggilan telefon kepada sebuah stesen TV swasta.
Kemudiannya, stesen TV itu turut berkongsi berita tersebut di laman mikro Twitter.
"Turut berdukacita atas meninggalnya Olga Syahputra pada jam 5.17 petang," tulis stesen TV itu.
Sebelum pengesahan rasmi dibuat, berita kematian Olga di Hospital Mount Elizabeth, Singapura itu telah pun kecoh di Twitter.
Vera sekali lagi mengesahkan pemergian Olga melalui kemaskini status terkini di Twitternya.
"Innalilahiwainalilahirojiun telah 'pulang' kesayangan mak, Olga Syahputra pada jam 5.17 petang (waktu Jakarta) dihari Jumaat. Minta doa buat kesayangan mak," tulisnya.
Ucapan takziah buat Olga menjadi 'trending' di Twitter apabila peminat dan kenalannya melahirkan rasa sedih atas pemergian pengacara berusia 32 tahun itu.
Sebelum ini, Olga telah menerima rawatan di hospital di Singapura berkenaan untuk tempoh yang agak lama.