KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari yang terlibat dalam sebuah kemalangan hari ini telah memuat naik gambar selfie terkininya di aplikasi sosial Instagram yang menunjukkan keadaannya di hospital.
Foto tersebut menunjukkan wajah Awal yang sedikit sembap dan bengkak sementara terdapat balutan luka di dahinya. Namun begitu, Awal masih boleh tersenyum.
“Alhamdulillah, tiada kecederaan serius. Terima kasih di atas pertolongan semua pihak yang telah mengeluarkan saya dari kenderaan, bawa ke hospital dan rawatan yang diberikan oleh Hospital Melaka.
“Insya-Allah saya akan ditukarkan ke Kuala Lumpur malam nanti. Doakan kesihatan saya,” kata Awal dalam kapsyen gambar tersebut.
Sementara itu, isteri Awal iaitu Scha Alyahya juga telah mengulang siar gambar tersebut di akaun Instagramnya @scaalyahya selang beberapa minit kemudian.
Awal pada tengah hari tadi dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ayer Keroh arah selatan.
Pengacara itu sedang dalam perjalanan ke tapak karnival di Stadium Hang Jebat, Melaka bersama pengurusnya, Izuan Mokhtar.
Wartawan dan pengacara, Zuan Azmi mengesahkan kemalangan itu dengan memuat naik gambar kereta awal yang remuk teruk di akaun Instagramnya.