DAMMARTIN-EN-GOELE, Perancis: Polis antipengganas dengan dibantu helikopter mengepung sebuah bandar kecil, di utara negara itu selepas sekurang-kurangnya seorang individu dijadikan tebusan dan dua suspek utama serangan terhadap akhbar satira Charlie Hebdo dilihat.
"Kami mempunyai petunjuk kehadiran pengganas yang diburu," kata Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve di Paris selepas sumber polis berkata ada insiden penahanan tebusan di sebuah unit hartanah perindustrian di bandar itu.
"Operasi sedang digerakkan di Dammartin-en-Goele sekarang, dengan sokongan agensi lain berkaitan di kawasan itu," kata Cazeneuve sambil menambah operasi di kawasan itu akan terus diperkukuh selepas ini.
Dammartin-en-Goele adalah kira-kira 40 kilometer daripada zon hutan tempat polis memburu dua suspek berkenaan semalam.
Terdahulu, kedengaran bunyi tembakan di bandar itu dan sumber polis memberi tahu sedang mengejar sebuah kenderaan di lebuh raya A2, tidak jauh dari situ. - Reuters
POLIS anti pengganas dengan dibantu helikopter mengepung sebuah bandar kecil, di utara negara itu selepas sekurang-kurangnya seorang individu dijadikan tebusan dan dua suspek utama serangan terhadap akhbar satira Charlie Hebdo dilihat. - Foto AFP5