JOHOR BAHRU - Penghuni sebuah kediaman di Jalan Gagah, Kampung Sri Paya, di sini, berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian besar selepas rumah didiami hangus dalam kebakaran hingga turut memusnahkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan sebuah motosikal, kelmarin.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, P Khrishnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 4.30 petang dan bergegas ke lokasi bersama 17 anggota.
"Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah rumah separuh kekal berukuran 20x30 kaki persegi telah terbakar sepenuhnya dan kebakaran turut menyebabkan sebuah kereta musnah,” katanya.
Sementara itu, pemilik kediaman yang enggan dikenali berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas berikutan rumah berkenaan yang disewakannya mengalami masalah terputus bekalan elektrik kira-kira dua jam sebelum itu.
“Penyewa memberitahu, mereka terputus bekalan elektrik di rumah berkenaan, jadi saya memanggil juruelektrik untuk memeriksa dan membaiki kerosakan.
“Selepas kerosakan dibaiki saya keluar untuk ke bank tetapi tidak lama selepas itu dihubungi semula oleh penyewa yang memberitahu berlaku letupan di rumah itu,” katanya.
Jelasnya, dia segera pulang selepas menerima panggilan dan terlihat asap keluar dari rumah itu sebelum api mulai marak dan membakar keseluruhan kediaman berkenaan.
Katanya, api marak dengan cepat sehingga kereta dan motosikal milik seorang lagi penyewa yang ketika itu tiada di rumah tidak sempat dialihkan.
“Kami kerugian kira-kira RM100,000 membabitkan kerosakan rumah serta kenderaan milik penyewa,” katanya.
Sinar Harian | 9 Januari 2015