Kota Bharu, 2 Jan - Lapan ratus anggota polis telah dikerahkan dalam usaha membantu semua pihak yang terjejas dalam banjir buruk yang berlaku di Kelantan baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka akan membantu badan-badan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan pihak persendirian bagi membersihkan kediaman dan premis termasuk yang dipenuhi lumpur tebal.
"Seramai 800 anggota daripada semua unit termasuk Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan dan unit udara akan membantu membersihkan Kelantan pada pasca banjir ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat dua anggota polis yang cedera dalam nahas helikopter di Kampung Rambai Gobek, Tanah Merah dua hari lalu, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini hari ini.
Khalid juga berkata semua ibu pejabat polis dan balai polis di Kelantan yang terjejas banjir sudah beroperasi seperti biasa.
"Di Kelantan terdapat 19 balai yang terlibat banjir namun tidak ditutup. Anggota tetap bertugas," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata lebih 50 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung aduan kecurian di Kelantan semasa banjir. - BERNAMA