PANGKALAN BUN, 11 Jan. – Kesemua anggota penyelam yang terlibat dalam usaha mencari dan membawa naik ekor pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di Selat Karimata diberi penghargaan oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI).
“Saya atas nama negara memberi penghormatan berupa skim kenaikan pangkat kepada mereka yang sudah bersusah payah mencari dan mengangkat ekor pesawat berkenaan.
Seorang anggota penyelam dan pegawai penyiasat meneliti serpihan ekor pesawat AisAsia QZ8501 yang dibawa naik ke Kapal Crest Onyx, kelmarin. – AFP
“Mereka berhadapan dengan pelbagai rintangan, keadaan ombak yang luar biasa dan bekerja tanpa mengira waktu melayakkan mereka menerima kenaikan pangkat ini,” kata Panglima TNI, Jeneral Moeldoko kepada Kompas.com.
Upacara simbolik kenaikan pangkat dijalankan hari ini dengan kesemua penerima diwakili oleh tiga orang penyelam iaitu Serma Marinir Boflen Sirait, KLK Edi Susanto dan Serka Anjar Nur.
Sejurus selepas majlis berkenaan selesai, ketiga-tiga orang penyelam berkenaan di bawa pulang ke Pangkalan Bun untuk meneruskan usaha mencari baki mayat mangsa.
Utusan Online | 12 Januari 2015