2014 pasti tercatat dalam sejarah sebagai tahun paling tragis bagi Malaysia apabila tiga kemalangan berlaku membabitkan pesawat terbang negara, iaitu dua pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia atau MAS, dan satu pesawat milik AirAsia.
|
Muhammad Ali Hashim |
Pertama, penerbangan MAS MH370 yang hilang dalam suasana penuh misteri pada Mac 2014 tanpa kesan sehingga kini, dipercayai terhempas di Lautan Hindi. Pesawat MH370 berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal, majoriti dalam kalangan mereka, iaitu 152 warga Republik Rakyat China.
Kemalangan kedua membabitkan satu lagi pesawat MAS, iaitu MH17, yang menjadi mangsa peperangan di Ukraine, terhempas ditembak jatuh pada Julai 2014 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Tragedi MH17 meragut 298 nyawa, 240 daripada mereka warga Eropah, Australia dan New Zealand.
Pesawat AirAsia QZ8501 pula terhempas di Laut Jawa dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada Disember 2014, membabitkan 162 jiwa, 155 daripada mereka warga Indonesia.
Masa depan MAS terancam
Ketiga-tiga tragedi meragut hampir 700 nyawa, majoritinya warga beberapa negara asing; justeru menarik perhatian masyarakat antarabangsa, juga membuktikan betapa globalnya sifat bisnes hari ini.
Ketiga-tiga peristiwa pasti mencabar masa depan syarikat terbabit. Impak terhadap AirAsia memerlukan masa sebelum dapat diperincikan kesannya. Bagi MAS pula, jelas sekali kedua-dua tragedi terkesan mengancam survival masa depannya.
Tambahan pula sebelum tragedi berlaku, prestasi MAS terjejas kos operasi tinggi akibat kenaikan harga minyak bahan bakar (sebelum merudum di akhir 2014). Lagipun, tuju arah MAS sejak beberapa tahun tidak menentu. Tragedi 2014 hanya menambah tenatkan kesengsaraan MAS.
Kedudukan MAS sebelum ini membangkitkan kontroversi apabila kerajaan Malaysia menerusi Khazanah bertindak memiliknegarakan semula MAS. Kontroversi semakin bertambah setelah tragedi 2014, apabila Khazanah mengumumkan 12 langkah pemulihan. Antara strategi pemulihan ialah menyuntik RM6 bilion, menubuhkan syarikat MAS Baharu, dan membatalkan penyenaraian MAS di Bursa Malaysia. Paling kontroversi ialah rancangan memberhentikan 30 peratus atau 6,000 pekerja MAS, di samping melantik seorang warga asing sebagai CEO.
Cadangan MAS melantik Christoph R Mueller, warga Jerman, sebagai CEO MAS Baharu mendapat reaksi paling negatif, terutama dalam kalangan rakyat Melayu. Mereka mempersoalkan dan tidak dapat menerima pelantikan beliau atas alasan ia menjejas maruah bangsa, kerana membayangkan solah-olah tidak ada anak Melayu yang layak atau berupaya memikul tugas CEO MAS, bagaimana berat dan mencabar sekalipun.
Saya pernah ditanya pendirian DPIM mengenai isu pelantikan CEO warga asing di satu seminar bersama usahawan dan ahli bisnes Melayu anjuran DPIM Perak di Ipoh pada 9 Disember 2014. Saya tegaskan rakyat Malaysia harus meyakini kebijaksanaan pemilik dan peneraju MAS, iaitu Khazanah Malaysia dan menghormati keputusan Khazanah yang diberi kuasa melantik CEO MAS baharu dan bertanggungjawab terhadap kelangsungan dan kejayaan depan syarikat terbabit.
Warga Malaysia perlu yakin Khazanah profesional dalam menilai kebolehan, pengalaman dan kewibawaan C R Mueller menyempurnakan tugas berat lagi kompleks memulihkan MAS di waktu paling mencabar membabitkan perhatian seluruh masyarakat global. Saya tonjolkan contoh syarikat Nissan, Jepun, yang melantik warga Brazil keturunan Lebanon, Carlos Ghosn, sekalipun Jepun merupakan antara negara paling cemerlang dalam bisnes dan industri global. Saya juga tegaskan prinsip dan pendirian Islam berkaitan menyerahkan sesuatu amanah, (termasuk amanah CEO); iaitu mestilah kepada orang yang ahli dan bukan hanya mengikut sentimen dan emosi. Jika tidak dipilih yang ahli kita diperingatkan menantikan sahaja kehancuran usaha!
Siapa perosak sebenar MAS?
Pada saya, dalam mencari jalan keluar dan membina semula kekuatan masa depan MAS, wajar sekali bangsa Melayu beri perhatian kepada seruan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (mantan CEO MAS di satu tahap cemerlangnya di masa lampau) yang disiarkan akhbar Sinar Harian pada 22 Disember 2014. Tan Sri Abdul Aziz menyarankan supaya kita “Cari siapa perosak MAS” yang antara lainnya beliau katakan menyebabkan MAS “berhutang RM12 bilion”, selain menghadapi kemungkinan bankrap setelah mencatat kerugian “hampir RM7 juta setiap hari!”
Saya pasti kecemerlangan MAS terbantut dan keupayaan bisnes serta pencapaian korporatnya terencat apabila Kerajaan Malaysia menswastakan MAS, menjual saham utama menjadikannya milik individu pada 1994. Kemerosotan prestasi MAS bermula apabila penswastaan mematahkan semangat juang tinggi warga kerjanya yang dipupuk sewaktu MAS sebuah syarikat milik GLC atau milik kerajaan. Sebelum diswastakan, pasukan warga kerja MAS berkhidmat berdasarkan semangat menjadikan MAS “salah satu syarikat penerbangan terbesar dan termasyhur di dunia” seperti diamanahkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein waktu MAS ditubuhkan.
Bukan tujuan saya menyalahkan individu pemilik dan peneraju MAS terbabit dalam skim penswastaan. Yang saya persoalkan ialah kebijaksanaan keputusan kerajaan menswastakan MAS, iaitu satu tindakan yang jelas bertentangan aspirasi DEB warisan hebat Tun Abdul Razak.
Konflik nilai budaya
Pengalaman 28 tahun selaku CEO membangun GLC (Johor Corporation) meyakinkan saya bahawa “nilai-budaya korporat” yang menjadi teras kejayaan korporat GLC boleh terjejas dan bercanggah dengan gaya pengurusan syarikat milik individu apabila diswastakan. Percanggahan nilai-budaya inilah punca utama kerosakan dan kemerosotan MAS setelah diswastakan secara mendadak.
Sebagai bukti, saya huraikan pandangan seorang pengarah eksekutif MAS yang saya kenali. Beliau menyatakan kerosakan mula berlaku apabila suasana pengurusan dalaman MAS berubah sama sekali ketika MAS diswastakan. Menurut beliau, sebelum penswastaan semua pekerja MAS bekerja atas prinsip berjuang untuk kepentingan besar bangsa dan negara. Setelah diswastakan, semua terpaksa ubah sikap, kali ini bekerja untuk kepentingan individu pemilik saham utama.
Tidak hairan jika semangat berjuang untuk kepentingan negara luput dan langsung terhakis akhirnya. Tambah beliau lagi: Sebelum diswastakan, pengurusan atasan MAS cepat dan mudah mencapai persepakatan membuat keputusan strategik, menerusi kaedah syura (consensus building), kerap setelah diadakan perbincangan mendalam. Sebagai entiti GLC “milik bersama” memudahkan kumpulan pengurusan MAS membina kepercayaan antara satu sama lain. Dalam banyak hal, pasukan pengurusan mudah sepakat dan komited membuat keputusan mengikut kebijaksanaan masing-masing; juga berani memikul bersama risiko tanggungjawab berpasukan.
Sebaliknya, setelah diswastakan, hampir semua keputusan perlu mendapat kata pemutus CEO pemilik syarikat. Hak dan kuasa peribadi CEO mendominasi segala pertimbangan pengurusan, menyebabkan eksekutif kanan keberatan mempersoalkan keputusan CEO, sekali pun bertentangan kepentingan bisnes MAS. Iklim pengurusan baharu ini langsung mematikan syura dan amalan consensus building. Tanpa “check and balance” percanggahan kepentingan mudah dibiarkan berpanjangan.
Keperluan jangka panjang syarikat juga mudah dikompromikan, setelah kepentingan jangka pendek CEO pemilik saham lebih cenderung diutamakan. Juga, apabila kuasa CEO pemilik syarikat menjadi absolute, jika ada konflik etika atau pelanggaran undang-undang kemungkinan besar ditoleransi tanpa soal oleh pengurusan dan eksekutif kerana semua hanya pekerja yang digaji.
Seperti disaksikan, situasi MAS bertambah kompleks apabila penswastaan dibiayai pinjaman bank. Akhirnya, syarikat MAS, GLC pemiliknya, juga kerajaan, terheret ke mahkamah, langsung merosakkan jenama MAS dan imej dan nama baik semua. Lebih buruk, fokus kepimpinan dan pengurusan MAS tidak lagi terhadap menambah kecemerlangan prestasi MAS sebagai bisnes dan organisasi korporat.
Semua ini melemahkan daya saingnya di pasaran yang semakin mengancam.
Kesimpulannya, tragedi terhempasnya pesawat bukan faktor utama mengancam masa depan MAS. Kemalangan MAS yang berlaku hanya seumpama tangga yang menimpa orang yang telah terjatuh.
Sesungguhnya, MAS sebenarnya telah terlebih dahulu dirosakkan penswastaan, iaitu satu kesilapan besar pemimpin politik Melayu dalam menggunakan kuasa politik di tangan.
Paling memudaratkan ialah kesan dan impak daripada keghairahan Melayu menciplak bisnes dan korporat ikut acuan kapitalis Barat nafsu-nafsi. Nilai budaya individualistik lagi rakus faktor paling mengancam masa depan ekonomi dan politik Melayu, kerana ia membuatkan Melayu sanggup mengenepikan strategi DEB memusnahkan GLC benteng utama memperkasa ekonomi Melayu.
Sinar Harian
5 Januari 2015