Kota Bharu: Dia boleh dianggap wira kerana sanggup merisikokan nyawa sendiri bagi menurunkan bantuan kepada kira-kira 300 mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, Kuala Krai, 25 Disember lalu.
Ketika kawasan berkenaan masih berada dalam zon merah berikutan cuaca buruk dan arus deras yang menyulitkan proses penyaluran bantuan, Koperal Mohd Nazrul Ifzam Md Isa mempertaruhkan nyawanya untuk menurunkan bekalan kepada mangsa yang sudah tiga hari terperangkap.
Berkhidmat sebagai anggota komando Rejimen Gerak Khas (RGK), Mohd Nazrul Ifzam, 29, berkata, dia tidak memikirkan risiko ke atas dirinya ketika itu kerana tersentuh melihat wajah mangsa banjir yang menunggu penuh harapan di luar koridor tingkat empat bangunan sekolah.
“Sebenarnya bukan ‘task’ (tugas) saya untuk terbabit dalam penghantaran bantuan kerana saya dipertanggungjawabkan mengiring Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
|
Mohd Nazrul Ifzam menurunkan bekalan makanan kepada mangsa banjir dari helikopter. |
“Kami pun baru tiba di Kelantan sehari sebelum buat tinjauan udara di Manek Urai. Kebetulan cuaca pagi Khamis itu baik untuk membolehkan helikopter Eurocopter EC725 melakukan penerbangan dan membawa Panglima ke sana.
“Kami tiba di sekolah itu jam 11.30 pagi dan dalam pesawat ketika itu ada lebih kurang lapan orang termasuk Panglima, namun tiada anggota daripada pasukan penghantar bantuan. Beg makanan sekitar 24 buah pula memang sedia ada dalam pesawat.
“Apabila kami masuk ke ruang udara kawasan sekolah cuaca masih lagi memberikan kerjasama yang baik dan ketika itu saya diminta untuk menurunkan bekalan.
“Saya tidak menolaknya walaupun tahu ia bahaya kerana alat digunakan untuk turun hanya tali asas untuk tujuan kecemasan yang hanya membalut badan saya selain ‘winching’. Tak ada sokongan keselamatan tambahan,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Mohd Nazrul Ifzam berkata, dia menerima arahan itu bukan hanya disebabkan tuntutan kerja, sebaliknya tersentuh melihat wajah mengharap mangsa banjir yang ketika itu tertunggu-tunggu makanan selepas tiga hari terperangkap.
Katanya, atas dasar perikemanusiaan juga menyebabkan dia tekad membantu apa yang terdaya, meskipun ia sekadar sumbangan kecil untuk menurunkan bekalan daripada pesawat.
“Bohong kalau saya kata tak fikir risiko apatah lagi alat itu digunakan untuk kecemasan saja. Dengan arus yang deras hingga menggegarkan bangunan, selain cuaca tak menentu, memang takut juga, tetapi niat saya hanya satu ketika itu, membantu mereka.
“Saya fikir mangsa sudah lama mengharap pihak keselamatan hantar bantuan dan melihat helikopter kami berlegar-legar, di situ, sudah tentu memberi sinar baru kepada mereka.
“Ketika itu juga saya terfikirkan ibu, ayah dan dua adik saya yang turut terperangkap di rumah di tebing Sungai Kuala Kangsar, Perak selepas jalan keluar masuk ke rumah naik air.
“Saya cuba letakkan diri saya dalam keadaan mangsa banjir. Jika mereka sengsara begitu, bagaimana jika perkara sama terjadi kepada saya dan ahli keluarga saya. Sebab itu saya tidak kisah apabila diminta berbuat demikian,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Mengimbas kembali pengalaman itu, Mohd Nazrul Ifzam berkata, sedar mangsa banjir di sekolah itu trauma memandangkan dia sempat merasa gegaran bangunan sekolah apabila dirempuh arus deras air bah.
Berikutan itu, dia bergayut pada tali sebanyak dua kali untuk menurunkan barang dan kemudiannya hanya menunggu di atas bumbung bangunan yang sudah tenggelam untuk mengambil barang daripada ‘winching’ yang dinaikkan.
Katanya, dengan bantuan anggota dalam helikopter, makanan akan diturunkan dan dia menjadi penyambut di bawah, sebelum beg terbabit dihulurkan kepada dua lagi anggota keselamatan yang sememangnya berada dengan mangsa banjir.
“Setiap trip membolehkan dua beg makanan diturunkan dan seingat saya dalam 12 trip juga kami dapat buat sebelum beredar kerana cuaca tidak mengizinkan,” katanya.
Menurutnya, beg makanan itu berisi roti, sardin, biskut dan makanan segera yang boleh terus dimakan.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia tidak menganggap dirinya wira kerana ramai anggota keselamatan yang turut bertungkus lumus membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi di Kuala Krai dan Gua Musang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21405?m=1#sthash.FAUQABJx.dpu