KUIH kapit atau lebih dikenali sebagai kuih sepit merupakan salah satu kuih tradisional yang hanya akan dihidangkan apabila musim perayaan ataupun majlis kenduri kahwin.
Tetapi kini, kuih tersebut boleh didapati pada bila-bila masa sahaja apabila ia dikomersialkan sepanjang masa oleh peniaga-peniaga.
Namun apa yang menarik, kuih kapit hari ini telah diinovasi dan boleh didapati dalam pelbagai perisa berbanding zaman dahulu yang mana ia hanyalah sekadar kuih kosong tanpa inti.
Bagi pemilik D’Crunchy Enterprise, Muhd Syukri Mohd Tahir minat berniaga mendorongnya untuk melakukan inovasi kepada kuih kapit dalam mendapat tempat di hati pembeli.
“Saya memang gemar makan kuih kapit dan kebetulan satu hari saya pergi ke kedai kemudian beli kuih kapit. Bila makan saya terfikir alangkah bagusnya kalau kuih tersebut ada pelbagai perisa.
“Kemudian saya sedar yang ia tidak mustahil dan kemudian bermodalkan RM1,000 saya telah menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) untuk menginovasi kuih kapit supaya mempunyai perisa,” katanya ketika ditemui di Banting, baru-baru ini.
Muhd Syukri berkata, R&D yang dijalankannya mengambil masa setahun dalam memastikan kerangupan kuih kapit dapat dikekalkan walau disapu perisa seperti coklat dan mentega kacang.
“Biasanya kalau kita sapukan perisa pada kuih kapit ia akan jadi lemau dan kurang rangup. Jadi melalui R&D yang saya jalankan saya cuba menginovasinya supaya ia kekal rangup.
“Saya mengambil masa hampir setahun untuk memastikan yang usaha saya ini berjaya dan mampu menambat hati pembeli,” katanya.
Kapit coklat dan kacang mentega laris
Menurut Muhd Syukri, selepas R&D yang dijalankan berjaya dan kerangupan kuih kapit dapat dikekalkan, beliau mula menghasilkan kuih tersebut untuk dijual kepada orang ramai.
"Pada awal perniagaan dahulu, saya menawarkan pelbagai perisa untuk kuih kapit yang saya jual seperti coklat, mentega kacang, pandan dan kapucino tetapi selepas berada di pasaran, saya lihat permintaan yang tinggi untuk perisa coklat dan mentega kacang.
"Jadi selepas itu, saya hanya mengeluarkan kuih kapit berperisa coklat dan mentega kacang. Manakala bagi perisa lain saya hanya akan keluarkan bila ada pembeli yang membuat tempahan," katanya.
Ditanya mengenai pengeluaran Crunchy Kapit, Muhd Syukri berkata buat masa ini penghasilan kuih tersebut bergantung kepada permintaan ejen yang dilantiknya di beberapa negeri.
"Kebiasaannya dalam satu hari, kami mampu menghasilkan 1,000 balang Crunchy Kapit untuk hari biasa, tetapi ketika musim perayaan permintaan akan melebihi daripada pengeluaran kami di hari biasa.
"Untuk musim perayaan dalam sehari kami mengeluarkan lebih 2,000 balang dan tempahan yang diterima pasti akan ditutup awal bagi memenuhi permintaan yang mendadak," katanya.
Ditanya mengenai pasaran yang berjaya ditembusi Crunchy Kapit, Muhd Syukri berkata, sejak awal perniagaan lagi pihaknya menggunakan platform atas talian sebagai kaedah perniagaan.
“Selain menjual kuih kapit berperisa kepada kawan-kawan dan saudara, saya juga menggunakan laman sosial Facebook untuk menembusi pasaran tempatan hingga hari ini termasuklah Instagram kami, Crunchy Kapit Official.
“Kemudian apabila perniagaan berkembang dan permintaan meningkat saya menggunakan khidmat ejen yang saya lantik sendiri menjual Crunchy Kapit,” katanya.
Menurut Muhd Syukri, dia lebih selesa menggunakan kaedah Business to Business (B2B) dalam memasarkan produknya untuk pasaran tempatan.
“Buat masa ini, saya mempunyai 10 ejen yang dilantik di beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Kelantan bagi memenuhi permintaan di kawasan sekitar.
“Apa yang penting, bagi saya sekarang adalah untuk menambah ejen di beberapa lokasi lagi dan kemudian baru boleh memberi tumpuan untuk memasuki pasar raya tempatan,” katanya.
Daripada segi harga, Muhd Syukri berkata, beliau menawarkan harga yang lebih rendah berbanding peniaga lain di luar sana di mana pembeli boleh mendapatkan Crunchy Kapit keluarannya pada harga RM23 sebalang yang mengandungi 48 keping kuih kapit.