Johor Bahru: Seorang pemandu lori maut selepas tersepit di bawah tayar lori ketika cuba memberhentikan kenderaan berat itu yang melanggar warung di Jalan Besar, Felda Inas dekat Kulaijaya, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa Rezal Osman, 37, meletakkan lori yang dipandunya di bahu jalan berdekatan warung berkenaan untuk membeli sarapan sebelum mendapati sistem brek kenderaan itu gagal berfungsi.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya Superintendan Razak Md Said berkata, menyedari lori itu bergerak sehingga melanggar warung berkenaan, mangsa cuba naik semula ke lori untuk memberhentikan kenderaan terbabit sebelum tergelincir dan terperosok di bawah tayar lori yang membawa muatan batu itu.
Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kulai mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa" katanya.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
Gambar ehsan : FB Jabatan Bomba dan Penyelamat