Terbit rasa simpati terhadap mangsa-mangsa banjir yang berada di Pantai Timur dan juga Perak. Keadaan banjir kali ini agak teruk berbanding dengan tahun yang sebelumnya. Mangsa banjir di Kelantan Darul Naim amat ramai dan merupakan negeri yang paling teruk dilanda banjir. Pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.
Dalam keadaan sebegini, selebriti tanah air turut meluahkan rasa simpati. Pelakon Amar Baharin sendiri agak runsing kerana kakaknya sendiri turut menjadi mangsa banjir. “Saya risau juga kerana kakak saya yang tinggal di Kuantan memberitahu saya, rumahnya telah dinaiki air. Apa-apa pun diharap semua mangsa-mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini dan sentiasa berfikiran positif. Setiap yang terjadi ada hikmahnya. Saya di sini sentiasa berdoa agar semuanya selamat di sana.
Kami di KL akan membantu apa yang patut dengan sedaya yang mungkin. Semoga ALLAH akan mengurniakan rezeki lebih selepas semuanya reda nanti. In Sha Allah”, kata Amar yang turut berkongsi gambar banjir yang dikirimkan oleh kakaknya.
Bagi Fazleena Hishamuddin pula, walaupun tidak ada pengalaman dengan bencana ini, tetapi dia turut luahkan rasa simpati kepada semua mangsa-mangsa banjir. “Saya mahupun keluarga tidak pernah lagi mengalami bencana sebegini. Tetapi saya memang harap ia tidak akan berlaku kepada kami. Tidak dapat saya bayangkan jika kami terkena. Lihat mereka yang ketakutkan dan sebagainya, saya tidak tahu bagaimana hendak terjemahkan perasaan itu, apatah lagi mere kan. Saya harap semua yang terlibat dalam bencana ini dapat bersabar. Anggaplah ini ujian daripada Allah SWT. Kepada yang tidak terlibat boleh sama-sama membantu bangsa banjir dengan memberi sumbangan wang, makanan dan keperluan agar mereka boleh menikmati sumbangan kita itu”, ujar Ratu Indie ini.
Dalam keadaan sebegini, mental dan fizikal perlu kuat. Itu yang dikatakan oleh Nubhan apabila diaju tentang pesanannya kepada mangsa-mangsa banjir. “Saya harap semua mangsa banjir bersabar dengan dugaan ini. Pasti ada hikmah di sebalik musibah ini. Disaat sebegini, ikatan kekeluargaan perlu kuat dan saling bantu membantu. Protect each other. Semoga mental dan fizikal mereka kuat dalam menghadapi dugaan ini. In Sha Allah”.
Oleh Ina Mohd
Era.fm