Allahuakbar! Luluh hati PH apabila melihat gambar-gambar yang dipetik dari laman Facebook Raja Shamri. Habis punah ranah semuanya! Tiada satu pun yang terlepas. Manek Urai adalah salah satu daerah di Kelantan yang paling teruk musnah akibat bencana banjir. Ibarat tsunami, air bah telah menelenggami setiap inci tanah bertuah itu memamahnya tanpa belas kasihan. Entah berapa kecutnya perut mangsa-mangsa banjir apabila melihat rumah bergerak mengikut arus, pekikan kanak-kanak dan wanita meminta tolong, sahabat handai yang hanyut dibawa arus yang sangat deras dan suami isteri yang hanyut akibat bot penyelamat berpusing mengikut pusaran air lalu terbalik.
Ikan pun seolah-olah tidak mahu hidup di dalamnya, apatah lagi manusia yang lemah apabila ditimpa hujan yang berterusan. Hampir menitis air mata PH membayangkan betapa lemahnya manusia berbanding dengan kekuasaan Ilahi. Itupun ada juga manusia yang tidak bersyukur dan mengambil iktibar dari tragedi yang berlaku dengan mengambil kesempatan di atas kesempitan. Keyboard Warrior menyebarkan fitnah manakala peniaga di sana mula cekik darah. Namun bukan hal bodoh itu yang menarik PH untuk menaip entri ini.
Sama-samalah kita bermuhasabah diri dan merenung kekuatan diri kita berbanding dengan kekuatan alam. Pasti ada sebab musabab kenapa bala ini diturunkan. Sebab yang tersurat mungkin kita sudah sedia maklum, namun apakah sebab yang tersirat serta hikmah yang boleh dipelajari dari tragedi?
Namun manusia tidak semua manusia yang berani mengaku kesalahan. Undang-undang Allah diperlekehkan dan manusia semakin berani menidakkan yang haq. Batil juga yang disembah.
Saksikanlah sendiri gambar-gambar di bawah ini. Ia bukan banjir yang berlaku di New Orleans, Amerika atau Taufan Hagupit di Tacloban, Filipina. Ia berlaku di tanah bertuah negara kita di Pantai Timur. PH cuba untuk memahami kesedihan mereka tetapi tidak mungkin PH akan dapat memahami kesemuanya.
Kepada mangsa banjir, PH ucapkan takziah di atas kehilangan harta benda serta kehilangan nyawa orang yang tersayang dan PH berdoa agar kalian semua diberikan ketabahan oleh Allah SWT.