Chukai: Mayat Norhayati Sulung, 37, yang sebelum ini dilaporkan dibawa arus deras selepas bot penyelamat dinaikinya terbalik Rabu lalu, dijumpai tersangkut pada timbunan sampah di Sungai Kemaman, kira-kira 700 meter dari tempat dia dihanyutkan, kira-kira 4.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Che Suza Che Hitam berkata, mayat mangsa yang juga mangsa banjir yang keempat di negeri ini dibawa pasukan penyelamat ke hospital Kemaman untuk dibedah siasat.
|
Bot yang terbalik dinaiki mangsa bersama suaminya |
Dalam kejadian kelmarin, Norhayati dan suaminya, Suhaimi Awang, kedua-duanya berusia 37 tahun, dihanyutkan arus deras selepas bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di Kampung Geliga Che Akob, kira-kira 1 petang.
Pasangan berkenaan dilaporkan menaiki bot penyelamat bersama lima yang lain untuk ke pusat pemindahan sementara yang terletak berhampiran kampung berkenaan sebelum bot terbabit terperangkap di tengah pusaran air lalu terbalik. Usaha mencari suami mangsa masih diteruskan sehingga kini.
Oleh : Shamsudin Husin ( am@hmetro.com )
26 Disember 2014
Nota PH :
Sehubungan dengan itu, Menteri Dato' Shabery Cheek sebelum ini ada memuatnaik status di laman FBnya yang menyatakan bahawa mayat kedua-dua mangsa iaitu Cikgu Nurhayati dan suaminya telah ditemui...
Tetapi mungkin ada berlaku kekeliruan, berita itu ada sedikit kesilapan..Yang dijumpai hanya mayat Cikgu Norhayati sahaja...Suaminya masih hilang dan pencarian masih diteruskan...
Justeru itu, sama-samalah kita berdoa agar suaminya dapat ditemui semula dalam keadaan yang selamat.