|
Sukarelawan membersihkan masjid selepas banjir melanda Kuala Krai, Kelantan, hari ini. - Foto REUTERS |
KUALA KRAI: Ibarat diserang garuda. Itulah yang dapat digambarkan keadaan kemusnahan teruk di beberapa kampung di jajahan Kuala Krai ini. Ia juga mengingatkan tragedi tsunami yang pernah berlaku di negara ini pada 2004 apabila melihat kemusnahan teruk yang dialami penduduk di perkampungan berkenaan.
Di Sungai Durian terdapat beberapa rumah runtuh sama sekali selepas banjir menenggelamkan perkampungan itu pada 23 Disember lalu dan menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri ke pusat pemindahan.
Bagi Rosmaria Ghazali, 34, dia hanya mampu menangis melihat rumahnya ditenggelami air hingga ke paras bumbung yang memusnahkan sama sekali rumah dan perabot.
"Saya terkejut dan tergamam apabila datang melihat rumah. Saya tak tahu nak buat apa lagi," katanya sambil mengalirkan air mata ketika ditanya Bernama.
Beliau yang berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sungai Embak di sini berkata apapun dia tetap bersyukur kerana semua lima anggota keluarganya selamat.
"Biarlah harta benda ini ... yang penting semua keluarga saya termasuk ibu bapa saya selamat," katanya.
Rosmaria juga berharap supaya bantuan kewangan dapat disalurkan segera untuk dia dan keluarga dapat menggunakannya bagi membeli keperluan yang mustahak.
"Saya juga bersyukur apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia dipercepatkan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya. Salamah Mahmud, 56, juga hanya mampu menangis apabila disapa Bernama tentang rumahnya yang runtuh akibat banjir.
"Makcik orang susah ... mana lagi kami nak tinggal dan berharap pusat pemindahan yang makcik duduk ini dibuka lama lagi," katanya dengan sayu.
Dia yang tinggal bersama-sama suaminya Mamat Kassim, 63, berharap kerajaan akan memberikan mereka rumah baharu.
Tinjauan di Kampung Hutan Batu Balai di sini juga keadaannya agak sama dan ketika bantuan makanan seperti beras diagihkan oleh Komuniti 1Malaysia, mereka hadir beramai-ramai mendapatkan bekalan itu.
Yusof Ghani, 52, berkata ketika banjir baru-baru ini penduduk kampung hampir terputus bekalan kerana keadaan banjir yang begitu teruk. "Alhamdulillah bantuan tiba dengan helikopter dan kami di sini ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang dapat memberikan bantuan dengan cepat jugalah," katanya.
Rumahnya ditenggelami hingga melepasi bumbung yang tidak pernah dialami penduduk di situ sejak sekian lama. Di bandar Kuala Krai, terdapat peti ais tersangkut atas bumbung sebuah kedai makan yang membuktikan betapa seriusnya banjir di kawasan itu. Kesan air banjir dapat dilihat hampir mencecah hujung pokok kelapa iaitu melepasi bumbung rumah dan premis di situ.
- BERNAMA
Berita Harian Online
31 Disember 2014