Kuala Lumpur : Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri kini mencecah 119,087 orang dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 45,467 orang setakat petang ini.
Di KELANTAN, limpahan air Sungai Kelantan menyebabkan jumlah mangsa di Kota Bharu naik mendadak iaitu seramai 13,388 orang kepada 14,586 orang petang ini berbanding 1,198 orang pagi tadi.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata limpahan air sungai itu telah merebak ke beberapa kampung berhampiran termasuk Kampung Lembah Sireh, Kampung Pintu Geng, Kampung Kedai Buloh, Kampung Banggol, dan kawasan sekitar Pengkalan Chepa.
Kesemua mangsa kini dipindahkan ke 40 pusat pemindahan berbanding hanya tujuh pagi tadi, katanya.
Kecuali di Pasir Mas yang menunjukkan sedikit penurunan dengan jumlah mangsa kini mencecah 6,319 orang, beberapa kawasan lain kebanyakannya tidak berubah termasuk di Tanah Merah (3,546 orang), Gua Musang (5,150 orang), Tumpat (5,005 orang), Machang (4,039 orang), Jeli (1,430 orang), Kuala Krai (5,200 orang) dan Pasir Puteh (192 orang). - BERNAMA
BHOnline
|
Gambar hiasan |