ANDA NAK PERCAYAKAN KHABAR ANGIN ATAU NAK PERCAYAKAN PEGAWAI PENYELENGGARA STESEN HIDRO ELEKTRIK TASIK KENYIR DI JENAGOR?
IKUTI PENJELASAN BENAR DAN EKSLUSIF INI:
IR HAJI AHMAD KAMAL ARBAIE INI ADALAH PENYELENGGARA KEJURUTERAAN STESEN JANAKUASA ELEKTRIK DI KENYIR INI:
Benarkah air dari Tasik Kenyir hendak dilepaskan bagi mengelak pecah?
IR AHMAD KAMAL: Tidak benar. Tiada pintu pun untuk melepaskan air tersebut. Kita hanya lepaskan air selepas dijana melalui janakuasa dan jika air di empangan/tasik melebihi paras ia secara otomatik keluar melalui aliran khas limpahan dari atas Empangan ke permukaan permulaan Sungai Terengganu di Kampung Jenagor itu.
Maksud Tuan, tiada pintu lain untuk melepas keluar air dari tasik itu?
IR AHMAD KAMAL: Ya betul. Itu sahaja laluan keluar air dari takungan empangan, melalui pusingan turbin yang digerakkan oleh air yang dilepaskan itu melalui empat saluran. Selepas air itu menolak turbin janakuasa dan menghasilkan 100 Mw tenaga elektrik tiap satu, air itu kemudiannya barulah masuk ke permukaan permulaan Sungai Terengganu itu.
Jadi tidak benarlah pihak anda dilaporkan mahu melepaskan air takungan empangan itu yang membimbangkan orang ramai.
IR AHMAD KAMAL: Ya tidak benar sama sekali. Mungkin mereka yang membuat andaian itu tidak tahu bagaimana operasi penjanaan kuasa elektrik ini dijalankan di stesen ini atau di empangan ini. Juga sistem air takungan empangan yang sebenarnya tidak ramai yang mengetahuinya.
Bolehlah kita buat analogi, empangan ini seperti tangki air di atas bumbung rumah kita. Jika air melebihi paras ia akan secara otomatik keluar melalui saluran air limpah yang dikhususkan itu di paras yang tertentu.
Dalam hubungan ini, paras limpah otomatik ialah apabila takungan air di empangan Tasik Kenyir ini mencecah 145 meter ke atas dari ketinggian sebenar susunan batu empangan ini 155 meter.
Kira-kira jam 3 petang tadi bacaannya mencecah 146.66 meter dan air limpah itu keluar ke Sungai Terengganu melalui saluran otomatik itu.
Dari kajian yang kita buat, semasa hujan lebat kebelakangan ini, air di empangan itu meningkat 2-3 sentimeter sahaja satu jam, tetapi akan kembali menurun bila airitu keluar melalui sistem penjanaan dan juga saluran otomatik jika melebihi paras yang dikehendaki yang saya sebutkan tadi.
Dan kita amat memerlukan air untuk menjana kuasa elektrik, yang tidak diperlukan ataupun yang melebihi paras diperlukan sahaja lepas keluar secara otomatik ke Sungai Terengganu. Yang lain kita simpan untuk proses penjanaan elektrik.
Bermakna kenaikan paras Sungai Terengganu dan berlaku air melimpah di sekitar kuala Sungai Terengganu tidak kaitan dengan air Tasik Kenyir?
IR AHMAD KAMAL: Ye betul..semasa kejadian paras air naik di sekitar muara Sungai Terengganu malam 22 Disember, keadaan air di empangan ini adalah di paras yang di bawah paras saluran keluar otomatik iaitu 144 hingga 145 meter. Bermakna pada malam itu tidak ada air terlepas keluar kecuali yang jana untuk elektrik melalui proses rutin. Mungkin sebab-sebab lain. Misalnya air laut yang pasang kuat atau air dari punca lain yang masuk ke sungai Terengganu.
Sebab selain aliran dari stesen janakuasa, punca air sungai Terengganu juga datangnya dari sungai-sungai utama lain seperti Sungai Telemong, Sungai Berang, Sungai Kuala Nerus dan lain-lain punca.
Banjir yang berlaku di Kampung Kemat Kuala Berang contoh bagaimana ia bukan berpunca dari Sungai Terengganu kerana ia terletak di belakang permulaan sungai ini. Makna ia terjadi kerana faktor lain.
Bukankah paras 146.66 itu paras yang tinggi bagi empangan Tasik Kenyir ini?
IR AHMAD KAMAL: Betul dalam tempoh janakuasa ini, ia adalah antara yang tertinggi. Paras biasa yang kita simpan untuk penjanaan ialah 137 meter. Namun begitu, ia bukanlah perkara yang luarbiasa, kerana bila sahaja ia mencapai paras 145 meter dan ke atas, air itu secara otomatik melalui saluran yang saya nyatakan tadi.
Lain-lain yang hendak diperkatakan?
IR AHMAD KAMAL: Kita memerlukan air untuk menjana kuasa elektrik, Insya Allah kita manfaatkan air ini untuk semua. Bahkan dengan adanya empangan ini juga, telah banyak dapat mengelak kejadian banjir sebelum ini.
Saya dapat tahu dari orang-orang tua, dahulunya sebelum ada empangan mereka terpaksa berdepan banjir besar setiap tahun dan itu perkara biasa bagi mereka. Alhamdulillah kini dengan wujudnya empangan ini, kejadian banjir terkawal.
Bahkan kita turut membantu pihak Syarikat Air Terengganu( SATU) dari kemasukan air laut dan mengelakkan air menjadi payau.
Kita menambahkan masa operasi lebih awal bagi penjanaan elektrik dan seterusnya membawa keluar air tasik selepas penjanaan itu bagi tujuan membantu SATU dan seterusnya orang ramai mendapat air yang selesa.