KUALA LUMPUR : Kapten sebuah kapal, KM Bahari Maju, mendakwa melihat pesawat merah terbang rendah di perairan Pulau Lingga, hari ini.
Menurut laporan Metrotvnews.com malam ini, perkara itu dimaklumkan petugas pusat komunikasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) Daerah Bangka-Belitung selepas menerima maklumat itu menerusi kapten kapal terbabit, Fariawan.
Pesawat berkenaan dilihat terbang rendah pada jam 8.00 pagi waktu Indonesia Barat (WIB) ketika KM Bahari Maju berada pada kedudukan koordinat 00'17'202 S dan 105'40'422 E.
"Kita tadi menerima informasi dari KM Bahari Maju yang melihat pesawat berwarna merah terbang rendah di Timur Pulau Lingga, Kepulauan Riau," kata petugas berkenaan, Febby Imam Saputra.
Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal dari Surabaya, dijadual tiba di Singapura pada 8.30 pagi namun terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi.
Berita Harian Online
28 Disember 2014