Telah heboh di laman sosial Facebook di serata negara kononnya ada seorang ibu mangsa banjir yang dikatakan telah mengarang sebuah puisi kerana kematian bayinya gara-gara kegagalan pihak berwajib menghulurkan bantuan di Kuala Krai, Kelantan. Namun khabar ini disangkal kesahihannya berdasarkan satu status di Facebook seperti di bawah.Kalau mahu difikirkan, ada logiknya juga.
Sememangnya perbuatan menangguk di air keruh seolah-olah telah sebati oleh mereka yang taksub dengan permainan politik serta berniat jahat. Walaupun ianya sekadar 'puisi' namun ianya dibaca oleh jutaan orang dan mampu membangkitkan sentimen negatif di kalangan masyarakat.
Samada puisi ini benar atau tidak, kita sebagai rakyat marhaen perlulah berfikir dengan landasan yang waras. Kita perlu matang kalau mahu bermain arus dengan arena politik ataupun mempercayai sesuatu berita. Di saat- saat getir sebegini tidak perlulah kita menyimbah minyak petrol ke dalam api yang sudah marak. Dengar khabar pihak SKMM sedang menyiasat kesahihan puisi ini.
Berikut adalah puisi yang dimaksudkan :
'Tidurlah sayang'.
Mama tahu kamu sejuk dan penat,
Kerana itu mama peluk kamu erat.
Mama tahu kamu merayu disuapkan,
Tetapi hanya dedaun yang mampu mama lumatkan.
Seperti kamu yang mengharapkan secebis makanan,
Mama juga berharap ada yang meluruhkan bantuan dari balik awan.
Hina rupanya kita di mata orang,
Sejuk dan basah bersendirian.
Tiada bekalan dan bantuan,
Seolah daerah ini daerah perang.
Rupanya begitu sekali negeri ini disisihkan,
Sehingga nyawa dianggap mainan dek kotornya partisan.
Darurat barangkali terlalu 'keramat' untuk diwartakan,
Walau negeri sudah menjadi kubur tidak bernisan.
Sabarlah sayang,
Simpanlah airmatamu ini untuk Tuhan.
Selepas ini tidak ada lagi kelaparan, dan mengigil sejuknya di bawah rintik hujan.
'Tidurlah' sayang,
Dan selamat jalan.
Tunggu mama di syurga.
(Nukilan seorang ibu yang kematian bayinya d Bukit Manjor, Kuala Krai ketika bertahan di atas bukit tanpa bantuan)
|
Gambar hiasan |