Baru-baru heboh diperkatakan tentang seorang penyanyi era 90-an ditangkap polis akibat penyalahgunaan dadah
( baca sini ). Dan penyanyi yang dimaksudkan ialah Zamani Slam. Dari zaman PH aktif bergiat dengan muzik pada awal tahun 2000-an lagi, ada di kalangan rakan pemuzik PH bercerita tentang Zamani mengenai isu ini. Tetapi PH dengar sahajalah bermacam-macam ceritanya. Bukannya apa, orang yang bercerita pun perangainya sama juga, ada hati nak cerita keburukan orang.
Baru-baru ini juga tersebar video Zamani Slam dikatakan 'dipaksa' menyanyi di balai polis dalam keadaan tangan yang bergari. Hmmm apa nak dikata lagi? PH masuk asrama IKM dulu pun kena paksa nyanyi oleh pelatih senior sampai subuh, tiup kipas sampai berpusing dan kena tiup lampu kalimantang sampai padam. Cuma bezanya tiada video dirakam sebab PH bukan artis.
Tapi kes Zamani ni lain sikit. Namanya gah dipersada muzik tanahair kerana berjaya membawa Slam ke puncak kejayaan dek kerana kemerduan suara emasnya. Apabila dia dibawa ke balai polis untuk disoalsiasat, sudah semestinya tempat tersebut riuh rendah kerana seorang penyanyi yang menjadi 'living legend' tiba-tiba muncul dengan tangan yang bergari serta positif Morfin di dalam ujian air kencing. PH yakin Zamani sudah stress akibat ditanya bertubi-tubi mengenai latar belakang muziknya, bukan kerana kes dadah. Orang yang bertanya pula mungkin terdiri dari berlainan jabatan, bukannya I.O. Semuanya buat semak kepala.
Kes buli di balai sememangnya lumrah di mana-mana pelusuk di dalam dunia ini. Tetapi bagi PH inilah kes seumpamanya terjadi di Malaysia di mana penyanyi pujaan ditangkap dan orang yang menangkapnya pula teruja untuk mendengar suaranya secara 'live' dari balai dengan tangan yang bergari. Kemudian disuruh menyanyi dengan tangan yang bergari dan dirakamkan pula menerusi telefon bimbit lalu disebarkan ke media sosial. Apakah motifnya selain dari mahu menjatuhkan maruah Zamani? Bagaimanakah perasaan ibubapanya, adik beradik dan sahabat seperjuangannya? Tidakkah terguris hati dan perasaan mereka? PH yang tiada pertalian darah dengan Zamani sangat tersinggung dengan video tersebut.
Sebelum ini, Saleem, Jamal Abdillah ( Dato' ) dan Ameng Spring juga pernah melalui pengalaman yang sama tetapi tiada pula video seumpama ini yang dirakam mahupun diaibkan sedemikian rupa. PH sangat sedih perkara ini terjadi kepada Zamani yang juga merupakan idola PH di dalam bidang muzik. Ini sangat tidak adil bagi dirinya.
Bergenang airmata PH tatkala tonton video tersebut dan sudah tentu PH tidak mahu kongsikannya di dalam blog ini. PH tidak mahu menjadi seperti blogger lain yang terus menerus menyebarkan video tersebut di dalam blog mereka bagi tujuan trafik. PH tidak mahu menambahkan lagi beban dan aib Zamani.
Bagi blogger-blogger ataupun pengendali Fan Page di Facebook, kalau boleh padamlah video tersebut kalau mereka sayangkan Zamani. Zamani 'rosak' mungkin ada sebab kekecewaannya yang tersendiri yang mungkin kita tidak faham. Zamani perlukan sokongan moral dari kita. Zamani perlukan bantuan kita.
Soal dia dengan perbuatannya, sememangnya ia menyalahi undang-undang. Namun biarlah mahkamah yang tentukan kedudukannya samada bersalah atau tidak. Kita yang marhaen ni usahlah menggatal tangan nak jadi Keyboard Warrior apatah lagi menjatuhkan hukum
PH harap ada tindakan tatatertib dikenakan ke atas anggota yang merakamkan video ini dan menyebarkannya. Harus diingat, Zamani telah diaibkan SEBELUM DIA DIBUKTIKAN BERSALAH OLEH MAHKAMAH.
|
Gambar Zamani Slam ini dikatakan diambil dari balai polis |
Kepada abang Zamani ( sekiranya terbaca entri ini), tabahlah di dalam menghadapi ujian ini. Mungkin ini adalah jalan untuk abang Zamani pulang semula ke pangkal jalan. Sebagai peminat setia, kami tetap akan bersama abang Zamani setidak-tidaknya dengan doa-doa kami. Susah senang abang Zamani kami tetap akan bersama.