KUALA LUMPUR: Di sebalik cerita kemenangan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29 yang bersiaran di TV3 baru-baru ini, cerita penaja utama anugerah berprestij itu iaitu produk Qu Puteh termasuk pengasas produk berkenaan dari Vida Beauty turut menjadi sensasi.
Pengasas produk, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan Datuk Vida dalam erti kata lain berjaya membuatkan produk berkenaan diingati ketika berlangsungnya AJL 29. Dikecam atau dipuji di laman sosial, ia tetap publisiti terbaik buat produk itu.
Malah tak kurang yang menyifatkan beliau jenis yang gila glamor apabila wajahnya kerap ditampilkan sepanjang AJL 29 berlangsung. Tagline 'Qu Puteh barulah putih' sambil menyentuh pipi dengan jari yang digayakan beliau turut dipersendakan.
|
Pengasas Vida Beauty, Hasmiza Othman dengan Tagline 'Qu Puteh, barulah puteh'. - Foto Muhaizan Yahya |
Bagi Datuk Vida sebagai pelabur dan penaja, beliau mahu memanfaatkan jumlah pelaburan yang diberikan kepada sesebuah acara itu sebaik mungkin. Difahamkan untuk AJL 29 saja beliau menaja mencecah RM3 juta manakala GegarVaganza hampir RM2 juta.
"Saya sebenarnya lebih selesa produk yang dijual saja ke depan. Tapi selepas muka saya yang kian memberi impak terhadap jenama produk, saya rasa perlu ke depan. Pakai duta pun tak berapa nak jalan dan menjadi, jadi saya perlu fikir inisiatif lain.
"Terpulanglah orang nak cakap saya gila glamor atau apa sekali pun. Siapa yang menjalankan perniagaan tak mahu untung dan pulangan berlipat ganda. Saya percaya suatu hari nanti orang akan faham kenapa saya buat begini. Jika saya tak berjuang untuk hak saya terutamanya sebagai penaja, pelaburan itu sia-sia saja.
"Saya tak kisah orang nak cakap saya muka tembok ke apa kerana sebelum mencapai kejayaan ini, saya sudah melalui perit jerih hidup ketika memulakan perniagaan.
"Saya pernah jatuh terduduk, iklan tak menjadi dan macam-macam lagi termasuk berhadapan dugaan lebih besar selepas dua anak saya meninggal dunia dalam kebakaran pada Ogos 2013. Tapi saya kena bangkit semula," kata wanita berusia 44 tahun itu yang berasal dari Machang, Kelantan.
|
Pengasas Vida Beauty, Hasmiza Othman dengan Tagline 'Qu Puteh, barulah puteh' bersama Datuk Siti Nurhaliza. |
Produk Qu Puteh sudah dua tahun beroperasi dan sebelum itu Vida Beauty mempunyai rangkaian produk kesihatan Pamoga. Produk Pamoga itu lebih menggunakan pendekatan mendekati orang kampung serta orang tua yang kesihatannya tidak mengizinkan.
"Sebelum nak menaja program hiburan, saya sebenarnya fikir 100 kali kerana sebelum ini saya lebih kepada pasaran orang tua dan bukannya arus perdana. Tapi sebagai ahli perniagaan saya tak boleh statik dan perlu buka mata untuk pasaran baharu.
"Maka sebab itu, saya memilih untuk ke pasaran dunia hiburan yang ternyata ramai kelompok sasaran saya. Sebab itu saya pilih Anzalna untuk menjadi duta produk QU Puteh. Insya-Allah tak lama lagi saya akan umumkan duta baru pula untuk rangkaian produk lain," katanya.
Berita Harian | 22 Januari 2015
Nota PH :
Komen PH pula secara peribadi, rasionalnya ramai orang tak suka iklan. Radio Era pun pernah kena komplen sebab banyak iklan...tapi tanpa iklan siapa pula nak tanggung kos penyiaran? Tapi kalau iklan tu teruk, nak kutuk tu takdelah sampai melarat terbawak2 ke FB sebab PH sedar antara PH dengan si dia sangat jauh perbezaan taraf hidupnya...Mahu atau tidak, tengok ajer la iklan tu...AJL tu 'dia punya' malam tu...Kalau tak, silap2 AJL pun kita tak boleh tengok...Dia yang kena kutuk tu tak terkesan sikit pun...Kita yang mengutuk ni silap2 dapat dosa lagi...Berlapanglah dada yer...Peace2 kacang peace...huhuhu