SEREMBAN - Bukan gantung diri, tapi mungkin dibunuh. Itu yang berlegar di fikiran seorang bapa terhadap anaknya yang meninggal dunia di asrama sebuah pusat pengajian tinggi, Jumaat lalu.
S. Rajagopal yang tinggal di Fasa 5, Taman Seremban Jaya, Senawang, di sini mengesyaki perkara itu selepas mendakwa memperolehi beberapa petanda dan bukti.
Mengikut fakta kes, S. Sanilan, 20, pelajar tahun dua jurusan Bahasa Tamil ditemui rakannya dalam keadaan tergantung di dalam bilik asramanya di Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, kira-kira jam 8 malam.
Polis bagaimanapun mengklasifikasikan anaknya sebagai mati mengejut akibat menggantungkan diri.
Bagaimanapun, Rajagopal berkata, terdapat beberapa perkara menjadi persoalan buat dirinya sekeluarga selepas meneliti beberapa bukti terhadap kematian anak keenam daripada tujuh beradik itu.
Menurutnya, tiada kesan jerut ditemui pada leher anaknya meskipun polis mengatakan Sanilan mati akibat tergantung pada kipas siling di biliknya.
“Laporan hospital juga menunjukkan anak saya mati akibat sesak nafas. Lebih pelik, pihak hospital melakukan pembedahan mayat anak saya tanpa meminta izin kami sekeluarga terlebih dahulu.
“Kami sekeluarga turut ke bilik anak saya mendapati kipas berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan seperti bengkok. Saya berasa pelik kerana berat badan anak saya lebih 80 kilogram, kalau anak saya mati tergantung pasti akan menyebabkan kipas bengkok dan rosak,” katanya kepada media di rumahnya di sini, semalam.
Hadir sama, Adun Senawang, P. Gunasekaran dan Adun Nilai, J Arul Kumar.
Rajagopal yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kain dhoti yang digunakan anaknya untuk menggantungkan diri pada kipas siling itu juga dipercayai bukan kain milik anaknya.
“Anak saya hanya mempunyai dua kain dhoti dan saya lihat kainnya masih disimpan dalam keadaan baik dalam beg. Tidak mustahil anak saya membeli kain dhoti baru untuk tujuan gantung diri.
“Saya juga pelik apabila mendapati sistem pesanan ringkas (SMS), Whatsapp dan Facebook pada telefon bimbit anak saya telah dipadam sebaik kami terima telefon bimbit daripada rakannya,” katanya.
Berikutan itu, Rajagopal berharap polis dapat membuka kertas siasatan bagi mengenalpasti punca kematian dan sekiranya dibunuh, si pelaku harus dikenakan tindakan undang-undang.
“Anak saya merupakan pelajar cemerlang, dia juga tidak mempunyai masalah terhadap keluarga, rakan-rakan dan pelajaran," katanya.
Sementara itu, Gunasekaran berkata, dia akan menghantar surat kepada Ketua Polis Kedah dan Ketua Polis Negara dalam masa terdekat bagi menggesa siasatan terperinci dilakukan.