KUALA LUMPUR - Di sebalik keindahan kediaman mewah berkonsepkan resort terletak di Jalan Jelatek di sini, tidak siapa tahu kesengsaraan penduduk yang berdepan masalah bau busuk sehingga menjejaskan keselesaan mereka.
Masalah itu dikatakan berlaku sejak berbelas tahun dan bermula peringkat awal ia dihuni, berpunca daripada saliran longkang utama dipenuhi keladak yang menjijikkan.
Itu yang berlaku di Kampung Warisan, apabila kedudukan longkang hanya kira-kira 10 meter dari unit-unit rumah di blok berhampiran, menyebabkan penduduk di situ benar-benar tidak selesa.
Penduduk, Kalsom Ismail, 41, berkata, unit rumahnya di tingkat 1, Blok Melur, paling hampir dengan saliran longkang terletak bersebelahan sebuah kondominium di situ.
Menurutnya, masalah bau berlaku sejak 14 tahun dia tinggal di situ, namun bertambah teruk sejak kebelakangan ini.
“Lebih teruk apabila hujung minggu. Kita kalau boleh mahu duduk di rumah berehat bersama keluarga, tetapi terpaksa pula hidu bau busuk. Set alat senaman yang dibeli untuk bersenam di balkoni rumah pun tak boleh guna sebab tak selesa dengan bau.
“Sudah penat mengadu kepada pihak pengurusan tapi mereka pun tak boleh buat apa. Kita bayar cukai pintu sepatutnya perkara ini diatasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penduduk, Norlian Mohd Ali,53, turut akui berdepan situasi sama.
“Saya terpaksa tutup pintu balkoni tapi baunya masih kuat,” katanya.
Pembersihan tidak menyeluruh
Bau busuk bukan sahaja menjejaskan penduduk di blok berhampiran tetapi turut terkena tempias kepada penduduk yang melalui pintu masuk utama.
Katanya, aduan dibuat kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga tidak menyelesaikan masalah apabila kerja pembersihan dibuat tidak sempurna.
“Bau busuk datang dari aliran bilik sampah kondo berhampiran yang mengalir ke longkang utama luar kawasan Kampung Warisan tapi disebabkan pembetung yang tersumbat, air tak dapat mengalir dengan sempurna dan menyebabkan bau busuk.
“Kita hanya mahu masalah ketidakselesaan penduduk diselesaikan terutamanya masalah bau. Tindakan sepatutnya lebih cekap,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Ketenteraman Penduduk, Sulaiman Noh berkata, beberapa aduan telah dibuat sejak 5 November tahun lalu dan pihak MPAJ telah membuat pembersihan namun tidak menyeluruh.
Katanya, pembetung sepanjang 100 meter yang tersumbat perlu dibersihkan termasuk 100 meter lagi longkang terbuka bagi menyelesaikan masalah bau berkenaan.
“Ia memalukan kerana di sini ramai penduduk antarabangsa, masalah longkang sahaja namun tidak dapat selesaikan. Ia perlu diatasi segera,” katanya.
Sinar Harian | 2 Februari 2015