TAIPING: Seorang lelaki bertindak kejam mengelar teman wanitanya dalam satu kejadian di KM 228.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Bukit Gantang di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 19 tahun dikatakan membuka pintu keretanya yang diletakkan di lorong kecemasan sebelum terjatuh di atas jalan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa, seorang lelaki keluar dari kereta itu dan menariknya ke tempat besi penghadang jalan sebelum cuba melarikan diri ke hutan berdekatan.
Katanya, orang ramai yang melihat kejadian itu segera menangkap suspek yang berusia 25 tahun.
“Mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan tetapi disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.
“Kita turut menemui sebilah pisau yang mempunyai kesan darah dalam semak berhampiran tempat kejadian dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sebelum kejadian, seorang saksi yang menunggang motosikal dari Pokok Assam ke Ipoh terlihat sebuah kereta Proton Perdana warna hitam diletakkan di tepi lebuhraya.
Seorang lelaki keluar daripada kereta dan menarik mangsa perempuan itu ke tepi besi penghalang jalan.
Siasatan awal mendapat suspek disyaki menghadapi masalah mental dan telah berkawan dengan si mati sebelum ini.
Sumber : Perak Today