Jason Statham merupakan bekas atlet yang pernah mewakili England dalam acara terjun papan anjal pada Sukan Komanwel 1990 dan memiliki tali pinggang hitam dalam pelbagai seni mempertahankan diri.
Siapa sangka di sebalik imej lelaki kasar dan statusnya sebagai bintang filem aksi terkenal Hollywood, aktor Jason Statham pernah menjadi penjual minyak wangi tiruan di kaki lima di negara asalnya di utara England. Tidak pernah malu mengaku pekerjaan silamnya, Jason bagaimanapun berjaya menakhluki Hollywood berbekalkan wajah tampan, badan sasa dan bakat seni mempertahankan diri.
Orang yang bertanggungjawab membawa lelaki berusia 48 tahun itu ke Hollywood ialah pengarah filem Guy Ritchie. Guy tertarik dengan rupa parasnya yang ketika itu menjadi model pakaian jenama French Connection dan menawarkannya untuk berlakon dalam filem aksi komedi Lock, Stock And Two Smoking Barrels pada tahun 1998.
Bagaimanapun, nama Jason benar-benar menyerlah apabila dia berlakon dalam filem Transporter pada tahun 2002. Filem tersebut meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya, bukan sahaja menjadi filem pertama yang mengangkatnya sebagai pelakon utama, bahkan filem tersebut juga telah membentuk kredibiliti Jason Statham hari ini.
“Filem Transporter merupakan filem pertama saya sebagai bintang utama. Namun, disebabkan filem itu berbajet rendah, pihak penerbit tidak mampu untuk membayar efek kesan khas dan pelakon lagak ngeri. Bagi memastikan filem itu selesai, saya terpaksa melakukan semua aksi lagak ngeri sendiri termasuk terjun dari bangunan.
“Hasilnya, sehingga ke hari ini, saya lebih selesa melakukan sendiri setiap aksi lagak ngeri berbanding menggunakan pelakon gantian dalam setiap filem lakonan saya. Rasanya, seluruh Hollywood sudah tahu prinsip saya yang tidak akan menggunakan pelakon gantian walaupun terpaksa melompat dari bangunan ke bangunan yang lain atau terjun dari atas bas yang sedang bergerak laju,” balasnya.
Walaupun sedar risiko tinggi dan terpaksa bergadai nyawa setiap kali memasuki set penggambaran, Jason tidak pernah jemu melakukan aksi lagak ngeri.
“Saya harus cekalkan hati dan memastikan langkah keselamatan berada pada tahap tertinggi sebelum melakukan sebarang aksi lagak ngeri. Satu kesilapan, dibalas dengan nyawa. Saya tidak akan berhenti melakukannya kerana saya sangat sukakan cabaran dan aksi lasak. Jika saya tidak menjadi pelakon sekali pun, saya akan berada di laut dengan aktiviti menyelam atau sedang mengajar seni mempertahankan diri kepada orang lain,” luahnya.
Bagaimanapun, Jason melahirkan kekecewaannya apabila industri perfileman di Hollywood tidak mengiktiraf pelakon lagak ngeri seperti mana pelakon utama. Baginya, pelakon lagak ngeri atau pelakon gantian merupakan hero sebenar dalam sesebuah filem kerana mereka menggadai nyawa demi seni dalam sesebuah filem.
“Saya agak kecewa selepas sekian lama berlakon di Hollywood, saya masih melihat pelakon lagak ngeri dipandang sebelah mata dan tidak menerima pengiktirafan sewajarnya dalam industri perfileman. Walhal, pelakon lagak ngeri bergadai nyawa demi memberi hasil yang menarik dalam sebuah filem. Risiko cedera parah dan pelbagai kecederaan lain itu perkara biasa.
“Namun, penonton dan industri perfileman tidak mengiktiraf pelakon lagak ngeri.Mereka sebenarnya hero yang tidak didendang dalam sesebuah filem. Mungkin patut diadakan sebuah anugerah khusus untuk mereka dalam anugerah Oscar supaya segala penat lelah dihargai seperti pelakon utama,” ujarnya.
Hampir mati
Sebenarnya, sejak sebelum bergelar seorang aktor lagi, Jason sudah memiliki bentuk badan yang sasa. Perkara itu tidak mustahil kerana Jason merupakan bekas atlet yang pernah mewakili England dalam acara terjun papan anjal pada Sukan Komanwel 1990. Dia juga memiliki tali pinggang hitam dalam pelbagai seni mempertahankan diri.
Jika tidak berlakon, Jason suka menghabiskan masanya di gimnasium untuk mengekalkan kesasaan otot pada badannya. Ujarnya, harinya tidak lengkap andai tidak bersenam.
“Gimnasium merupakan tempat kegemaran saya. Mungkin disebabkan latar belakang saya yang merupakan seorang atlet, saya sudah terbiasa bersenam setiap hari. Hasilnya cukup lumayan apabila saya menjadi model dan seterusnya seorang pelakon. Terima kasih kepada otot-otot di badan, jika ‘tanpanya’ mungkin pengarah Guy Ritchie tidak tertarik untuk menawarkan saya berlakon dalam filemnya,” katanya sambil ketawa.
Tambah Jason, kegilaannya membina otot semakin menjadi-jadi apabila dia berlakon dalam filem The Expendable pada tahun 2010 yang menghimpunkan ramai aktor aksi seperti Sylvester Stallone dan Jet Li. Senarai pelakon hebat dalam jenama filem itu bertambah dalam sekuel kedua dan ketiga yang turut membariskan Liam Hemsworth, Bruce Willis, Chuck Norris, Arnold Schwarzenegger, Mel Gibson, Antonio Banderas dan Harrison Ford.
“Mereka bintang ternama, memiliki kredibiliti dan badan yang hebat. Jika saya tidak bersenam, sudah pasti saya akan tenggelam apabila beraksi bersama mereka. Sebelum memasuki set penggambaran filem tersebut, saya melakukan rutin senaman yang berbeza. Bukan sahaja untuk membina otot supaya kelihatan cantik dalam filem, tetapi juga membina kekuatan badan kerana banyak aksi lagak ngeri akan saya lakukan sendiri,” tuturnya.
Dalam pada itu, Jason turut berkongsi pengalaman berdepan dengan maut ketika di set penggambaran filem Expendable 3. Ketika memandu sebuah trak tiga tan, Jason berdepan saat genting apabila brek trak tersebut rosak menyebabkan ia terhumban ke dalam laut. Aktor itu terselamat kerana mempunyai kemahiran berenang dengan baik dan berjaya keluar daripada trak tersebut.
“Saya berdepan dengan kematian apabila brek trak itu rosak. Nasib baik pintu trak itu memang sudah dikeluarkan sejak awal, jadi saya sempat melompat keluar sebelum trak tersebut terjunam ke dalam laut. Kata rakan pelakon yang lain, jika mereka yang berada dalam trak itu, pasti sudah mati lemas kerana tidak mempunyai kemahiran berenang seperti saya.
“Pengalaman itu menyedarkan saya untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam setiap filem yang saya lakonkan. Sewaktu kejadian, memang menakutkan tetapi sekarang perkara itu menjadi bahan lawak dalam kalangan pelakon Expendable 3,” luahnya.
Kekayaan dan filem baharu
Ketika di England, Jason terpaksa berhempas-pulas di pasaran gelap untuk mendapatkan wang. Hari ini, Jason seorang lelaki yang cukup bertuah. Dia bukan sahaja mencuri hati seorang model jelita, Rosie Huntington-Whiteley sebagai kekasih sejak tahun 2010, tetapi antara aktor yang menerima bayaran tinggi dalam setiap filem yang dilakonkannya.
Pendapatan lumayannya dilaburkan dengan membeli rumah di Hollywood Hills yang sebelum itu merupakan rumah kepada aktor Ben Stiller. Rumah berharga RM41.6 juta yang didiami Jason sejak awal tahun 2014 itu mempunyai 10 bilik, 11 bilir air, kolam renang, gimnasium, panggung wayang dan sebuah rumah tetamu.
Selain itu, Jason juga dilaporkan membeli sebuah rumah mewah di tepi pantai Malibu, California berharga RM39.4 juta dan berjiran dengan beberapa bintang terkenal seperti Tom Hanks, Jim Carey, Sting dan Pamela Anderson.
“Saya membesar dalam keluarga pemuzik. Bapa saya merupakan penyanyi di sebuah kelab malam, manakala ibu saya merupakan penari. Sejak kecil, saya sudah diajar untuk mencari wang sendiri. Apabila dewasa dan berjaya memperoleh pendapatan lumayan menerusi lakonan, saya mengatur perbelanjaan sebaik mungkin.
“Antara aset utama yang menggandakan wang ialah membeli rumah. Sungguhpun begitu, tidak bermakna saya tidak membelanjakan wang untuk diri sendiri. Sekali sekala, saya akan bercuti panjang di destinasi pilihan biasanya berdekatan dengan laut kerana saya suka menyelam,” jelas Jason.
Bercerita mengenai filem terbaharunya Wild Card yang sudah berada di panggung wayang sejak 30 Januari lalu, Jason memberitahu, wataknya sebagai Nick Wild, seorang kaki judi memberi pengalaman baharu buatnya. Jika aksi lagak ngeri merupakan makanan hariannya, dalam filem berkenaan, dia harus belajar menjadi seorang pemain judi profesional pula.
“Filem ini mengisahkan seorang pengawal peribadi yang mempunyai masalah ketagihan bermain judi. Jadi, dia terpaksa melakukan pelbagai cara untuk memenuhi tuntutan jiwanya di atas meja judi.
“Bagi saya, ini pengalaman yang baharu kerana saya harus belajar cara-cara bermain judi seperti seorang profesional. Jangan risau, filem lakonan saya tetap penuh dengan aksi yang tidak terjangka. Saya harap penonton akan menyukai filem ini,” bicaranya.
Sumber : Kosmo! |