BANDARAYA MELAKA - Letupan didengari seorang remaja perempuan menyelamatkan enam sekeluarga apabila rumah banglo didiami mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Padang, Pokok Mangga, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, rumah banglo dua tingkat milik seorang Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd Nor Abd Rahman, 50, musnah di bahagian ruang tamu dan dapur.
|
Ruang makan di rumah berkenaan musnah akibat kebakaran, awal pagi semalam. |
Difahamkan, ahli keluarga yang baru pulang dari bercuti di Eropah enam hari lalu, sebahagiannya masih belum tidur berikutan masih mengalami gangguan ritma harian atau jet lag.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zahey Mohd Zailani berkata, salah seorang mangsa berusia 17 tahun terlebih dahulu mendengar letupan sebelum melihat api dari luar tingkap .
"Rumah itu dihuni enam orang di bahagian atas sebelum salah seorang melihat api dan bertindak menyuruh ahli keluarga lain segera keluar dari rumah.
“Bomba bergegas ke lokasi dan sebaik sahaja tiba 15 minit kemudian mendapati api sedang marak di bahagian ruang tamu rumah berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Sinar Harian
6 Januari 2015