Sinar Harian Online Edisi Kelantan
6 Januari 2015
RANTAU PANJANG – Pada 6 Januari tahun lalu, sebahagian premis di Zon Bebas Cukai yang sinonim dengan syurga membeli belah, hangus dalam kebakaran pada jam 11.25 malam.
Ini menyebabkan 60 premis kedai di Blok B Zon Bebas Cukai dan sebahagian Bazar Mimi hangus sama sekali.
Genap setahun selepas itu, ia kembali menghantui peniaga apabila kebakaran sama berulang di bangunan bersebelahan bazar berkenaan, jam 1 petang semalam.
Suasana panik peniaga dan api yang marak menyebabkan banyak kelengkapan jualan tidak sempat diselamatkan.
|
Keadaan Bazar Haji Ibrahim selepas berlakunya kebakaran jam 1 petang semalam. |
Biarpun ada peniaga mengalihkan barang jualan di laluan pejalan kaki, namun bahang panas menyebabkan ia turut musnah.
Ada peniaga terpaksa membuka pintu Pasar Lama Rantau Panjang yang ditutup sejak tahun lalu, bagi meletakkan barang jualan ke tempat selamat.
Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bertindak pantas dengan memotong bekalan di kawasan berdekatan, bagi mengelakkan kebocoran arus elektrik.
Laluan sehala ke bazar berkenaan menjadi dua hala kerana dipenuhi kenderaan peniaga sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Peniaga berdekatan juga bertindak pantas dengan menyelamatkan barang perniagaan antaranya di pembahagi jalan.
|
Peniaga dan pekerja kedai hanya mampu melihat premis mereka musnah akibat kebakaran itu.
20 anggota dikerah ke tempat kejadian |
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Azmi Osman berkata, anggaran awal mendapati sebanyak 20 kedai di Bazar Haji Ibrahim hangus dalam kebakaran tersebut.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.50 petang dan seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas serta Pengkalan Kubor menaiki empat jentera, satu tangki air bagi operasi menyelamat ini.
“Kita turut dibantu pasukan bomba dan penyelamat dari Sungai Golok, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal dalam masa 90 minit kemudian. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Azmi berkata, melihat kepada rentetan kejadian kebakaran yang berulang ini, mungkin ia disebabkan masalah sistem pendawaian ekoran banjir.
Beliau turut menasihati peniaga dan penduduk agar mengambil langkah awal dengan memeriksa sistem pendawaian kerana ia mungkin boleh menyebabkan litar pintas.
Jatuh ditimpa tangga
Sementara itu, peniaga, Rohani Mohd Salleh, 45, berkata, dia hanya menyedari kebakaran itu apabila salah seorang pekerjanya, Mohd Hafize Che Daud, 18, menjerit kerana melihat asap tebal dari bumbung stor.
Menurutnya, stor yang terletak di hujung bazar ini dipercayai punca meletusnya kebakaran yang memusnahkan 20 premis di sini.
“Kami hanya mampu menjerit meminta tolong kerana terlalu panik melihat asap tebal dan bahang panas.
“Belumpun sempat mengemas kedai akibat dilimpahi banjir, kami berdepan satu lagi ujian apabila kesemua barang jualannya hangus dalam kebakaran,” katanya.
Mat Ruzi Abd Rahman, 46, berkata, banjir tempoh hari menyebabkan dia mengalami kerugian apabila sebahagian besar beg sekolah, selimut tebal dan kelengkapan dapur ditenggelami air.
Namun katanya, walaupun ditenggelami air, dia masih mampu menjualnya dengan harga yang murah.
“Sekarang, tak mungkin saya dapat menjualnya semula kerana semua barang dah hangus.
“Saya anggarkan kerugian melibatkan tiga kedai peralatan dapur dan kelengkapan rumah ini, mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.