PADA
usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang
memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi
perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu
kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai
RM 9 juta.
Memang
selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini,
beliau lebih gemar
merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah
rezeki diberi Allah SWT.
“Saya
berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya
adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.
Anak
muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk
Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering
menjadi sebutan.
Namanya
harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak
pernah mendengar nama Sani Express.
Destinasi
ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke
Alor Setar di utara.
Lebih
mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang
tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.
Bagi
Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini
di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan
atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.
“Biasalah…
dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan
pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.
“Ketika
itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata
bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang
dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral,
Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd,
Datuk Sharifuddin Musa.
Selama
beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa
depannya dalam bidang itu.
Rakannya
sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas
melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.
“Melihat
rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa
ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia
meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.
“Pada
masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan
saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai
kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.
Beliau
meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.
Katanya,
beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat
seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam
bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.
“Ketika
zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung
Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas
sebagai pengangkutan.
“Boleh
dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas.
Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada
malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.
Ketika
memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa
ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.
Pada
2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.
“Ketika
itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu
menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika
itu memang getir,” katanya.
Beliau
terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk
kepada sesiapa.
“Ketika
ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila
seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.
“Jika
tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat
keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.
Sani
berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan
sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan
operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga
tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.
Katanya,
beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau
berani dan yakin dengan apa yang dibuat.
“Bayangkan
jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman
dalam jumlah besar itu?
“Apapun
pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan
perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin
pesat berkembang,” katanya.
Sani
membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun
Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.
Daripada
seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat
kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai
dengan belanja mencecah RM 7 juta.
Wisma
tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap.
Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan
surau.
Paling
menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau
secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma
berkenaan.
Menurut
Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu
bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.
“Saya
bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah
dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya
belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana
kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.
“Daripada
situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat
analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan
baik,” katanya.
Statusnya
sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.
Beliau
belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.
“Setakat
bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,”
katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan
utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.
“Dari
dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang
pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.
“Selain
itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada
kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu
saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,”
katanya yang mesra dengan kakitangannya.
Sani
berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.
“Apa
jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang
disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.
“Doa
juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai
sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada
orang yang pernah membantu kita,” katanya
http://ceritausahawan.blogspot.com/2014/01/kisah-kejayaan-datuk-wan-mohammad-sani.html?m=1