P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak
Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri bersamaan Rabu
, 22 Mac 1929. Bapanya seorang ahli pelayaran yang berasal dari Lho’Seumawe ,
Acheh telah berkahwin dengan Che Mah binti Hussien pada tahun 1925 di Kubang
Buaya , Butterworth.
P.Ramlee telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu
Kampung Jawa dan seterusnya di Penang Free School sehingga meletusnya Perang
Dunia Kedua. Semenjak di bangku sekolah lagi , P.Ramlee telah menunjukkan minat
dan bakat dalam bidang seni , terutamanya dalam seni muzik. Di Penang Free
,P.Ramlee belajar seni muzik dengan Encik Kamaruddin iaitu pemimpin Brass Band
di sekolah tersebut.
Semasa pendudukan Jepun di Malaya , P.Ramlee pernah memasuki
sekolah tentera laut Jepun ( Kaigun ). Di sini beliau berpeluang mempelajari
lagu-lagu Jepun. Penglibatan beliau
dalam dunia muzik bermula dengan pancaragam
“ Teruna Kampung “. Dalam pertandingan keroncong seluruh Pulau Pinang dan
Seberang Perai yang diadakan dalam tahun 1947, pancaragam beliau menjadi juara
dengan lagu ‘ Keroncong Oh Suci ‘ yang dinyanyikan oleh P.Ramlee.
Pada tahun yang sama , beliau terpilih sebagai “ Bintang
Penyanyi Utara Malaya “ dalam peraduan menyanyi anjuran Radio Pulau
Pinang.Untuk pertandingan tersebut , beliau telah menggunakan huruf ‘P‘ ( huruf
potongan bagi Puteh iaitu nama bapanya ).Nama P.Ramlee kini kekal sehingga
kini.
Pada tahun 1948 , P.Ramlee telah mendapat tawaran sebagai
penyanyi dan pelakon filem dari pengarah filem Shaw Brothers, B.S.Rajhans.
Filem lakonan pertamanya ialah ‘ Chinta ‘ di mana beliau memegang watak sebagai
seorang penjahat. P.Ramlee merupakan bintang filem melayu pertama yang boleh
menyanyi tanpa menggunakan penyanyi latar.
Semasa di zaman persekolahan ( barisan belakang , 3 dari
kiri ) menuntut di Sekolah Penang Free , Pulau Pinang pada 1947
Berkat dari kesungguhan dan rasa cinta beliau terhadap dunia
perfileman , beliau berjaya mengarah filem pertamanya iaitu ‘ Penarek Becha ‘
pada tahun 1955. Filem ini telah terpilih sebagai filem terbaik dan beliau
dipilih sebagai Pengarah Terbaik pada tahun 1956.
Sebagai seorang seniman serba boleh , P.Ramlee telah
menerima banyak anugerah untuk dirinya dan filem-filem arahannya.Filem ‘ Sumpah
Orang Minyak ‘ arahannya telah memenangi “ Fotografi Hitam Putih Terbaik “ dan
filem “ Pendekar Bujang Lapok “ terpilih sebagai filem Komedi Terbaik di Pesta
Filem Asia ke-6 pada tahun1959 di Kuala Lumpur. Begitu juga dengan filem “
nujum Pak Belalang “ dan “ Madu Tiga “ telah memenangi anugerah ‘ Komedi
Terbaik ‘ pada tahun 1958.
Mendapat Anugerah A.M.N Dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang
di Pertuan Agong Ke 3
Sebagai mengenang jasanya dalam bidang seni lagu dan
perfileman , beliau telah dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara ( AMN ) oleh
Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 27 September 1962.
Pada tahun 1964 , P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur dan
bertugas di Studio Merdeka milik Merdeka Film Productions di Hulu Kelang.
Sepanjang hayat P.Ramlee telah berlakon kira-kira 66 buah filem, mengarah 37
buah filem dan mencipta sebanyak 250 buah lagu. Namun setiap yang hidup pasti
akan merasai kematian , awal pagi Selasa bersamaan 29 April 1973. P.Ramlee
telah meninggal dunia secara mengejut akibat serangan sakit jantung ketika
berusia 44 tahun. Beliau meninggal dunia di dalam ambulans sewaktu dalam
perjalanan ke Hospital Besar Kuala Lumpur.
Walaupun beliau sudah lama meninggalkan alam yang fana ini,
jasa dan baktinya dalam arena seni sentiasa kekal dalam ingatan. Pada 6 Jun
1990, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-9 telah menganugerahkan
beliau bintang Darjah Panglima Setia Mahkota ( DPSM ) yang membawa gelaran Tan
Sri.