Shamsudin bin Dali atau lebih dikenali sebagai S. Shamsudin
(1 Januari 1929 - 4 Jun 2013) merupakan pelakon dan pelawak filem Melayu
kelahiran Singapura yang terkenal semasa 1950-an & 1960-an. Beliau lebih
terkenal kerana lakonan watak-watak lucu dalam filem. S. Shamsuddin telah
mendapat didikan daripada bapa mertua P. Ramlee iaitu Daeng Haris.
Keistimewaannya terletak pada gerak badannya yang lincah dan lidahnya yang
petah sewaktu berkata-kata. Telah berlakon beberapa filem antaranya Bujang
Lapok, Antara Dua Darjat dan Panggilan Pulau.
S. Shamsudin dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura.
Bapanya, Dali bin Kechik berasal dari Melaka, sementara ibunya, Khatijah binti
Haji Ahmad berasal dari Geylang, Singapura. S. Shamsuddin atau Sudin sebelumnya
bekerja sebagai buruh bagi membantu keluarganya sebelum menyertai bidang
lakonan.
Suatu hari, pada 1948, dia melawat Studio Malay Productions
(MFP) di Jalan Ampas hanya untuk melihat bagaimana
perfileman dijalankan.
Lawatannya ternyata bertuah kerana dia diberikan peluang untuk menjadi pelakon
tambahan dalam filem Chempaka yang di arah olrh B. S. Rajhans. Beberapa hari
kemudian dia mencari kerja di MFP dan mendapat kerja sebagai tukang kayu bagi
set studio dan filem. Sementara itu dia turut bekerja sebagai pelakon tambahan
atau penari dalam filem. Akhirnya, dia diberi peranan dalam filem Aloha, yang
diarah oleh B. S. Rajhans. Dia berlakon dalam beberapa babak yang memerlukan
banyak dialog, yang dianggap besar bagi pelakon tambahan malah bagi pelakon
baru. Peranan komedinya dalam filem dilakonkan bersama Osman Gumanti, Mariam,
P. Ramlee, A. R. Tompel dan D. Harris, menonjolkan bakatnya dalam lakonan.
Lebih banyak watak filem ditawarkan kepadanya, dan Sudin akhirnya menjadi
pelakon tetap bagi filem Melayu era tersebut bersama Aziz Sattar, kedua-duanya
muncul bersama pelakon terkenal P. Ramlee beberapa kali, terutamanya dalam siri
filem Bujang Lapok.
S. Shamsuddin berkahwin dengan Puteh binti Esmoon pada 1954
dan mereka mendapat 7 orang anak. Salah seorang anaknya, Ariff Shamsuddin juga
merupakan pelakon pelawak TV Singapura.
Pada 26 Jun 2010, Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datuk Mustafa Maarof dan Ketua Pengarah
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Mohd Mahyidin Mustakim melawat S
Shamsuddin. Sumbangan RM10,000 dari dana Finas turut diberikan.[2]
Manakala dalam kunjungan Finas ke Singapura pada 7 November
2010, S Shamsuddin yang ditemani isterinya, Che Putih Ismot turut menerima
sumbangan RM5,000 yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan
Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Zulkifli Ab Wahab.
Filem2 lakonan beliau :
1957 Bujang Lapok (Sudin)
1959 Pendekar Bujang Lapok (Sudin)
1959 Nujum Pa' Blalang (Nyawa, Penjahat No. 2)
1961 Ali Baba Bujang Lapok (Kassim Baba)
1961 Seniman Bujang Lapok (Sudin)
1964 Tiga Abdul (Pencerita)
1986 Bujang Lapok Kembali Daa
2005 Pontianak Harum Sundal Malam 2
1981 Festival Filem Malaysia ke-2 - Pelawak Terbaik
2009 Festival Filem Malaysia ke-22 Anugerah Istimewa untuk
Pelakon Veteran Lelaki
Meninggal dunia :
S. Shamsuddin meninggal dunia jam 10.56 pagi tanggal 4 Jun
2013. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Batok
Avenue, Jurong, Singapura.