|
Siti Asmah menunjukkan surat yang diterimanya daripada bank mengenai baki pinjaman perumahan meskipun tidak pernah dilakukan perjanjian jual belinya. |
AYER KEROH - Seorang ibu tunggal terkejut selepas dihubungi bank menyatakan dirinya bakal berdepan tindakan muflis berikutan mempunyai tunggakan pinjaman perumahan berjumlah RM130,000.
Siti Asmah Abdul Majid, 49, dari Sungai Udang berkata, meskipun mengakui pernah membuat tempahan membeli rumah pada tahun 2000 dan pernah membayar wang pendahuluan sebanyak RM1,000 tetapi ia telah dibatalkan setahun kemudian.
Menurutnya surat pembatalannya juga telah diberi kepada pemaju ketika itu dan sehingga kini dia menganggap aktiviti jual beli berkenaan selesai.
Lagi pun katanya, sehingga kini dia tidak pernah mendapat sebarang surat perjanjian jual beli bahkan dia juga tidak pernah menerima kunci rumah.
“Saya tidak pernah mendapat sebarang surat perjanjian daripada pemaju atau mana-mana bank dan kunci rumah pun tidak pernah saya terima. Bukan itu sahaja, kedudukan rumah pun saya tidak tahu.
“Mereka kata rumah berkenaan sudah dilelong dan baki pinjaman sekarang adalah RM130,000 sedangkan surat lelong pun bank tidak pernah beri pada saya. Setahu saya rumah berkenaan sewaktu membuat tempahan 14 tahun lalu adalah sekitar RM50,000 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Ibu kepada dua anak ini juga berkata, dia juga tidak pernah menerima sebarang surat mengenai proses perkembangan pembinaan rumah berkenaan malah tidak pernah menerima surat daripada pihak memintanya membayar pinjaman bulanan.
“Memang saya yakin tidak wujud perkara itu sebab pembatalan pembelian rumah itu sudah dibuat. Tapi, tiba-tiba pada 9 Disember lalu, saya dihubungi wakil bank menyatakan saya perlu menjelaskan RM130,000 dan saya pun terkejut.
“Bagaimana saya hendak tanggung semua ini, sedangkan bebanan hutang arwah suami saya pun saya tidak tertanggung, sekarang pula muncul pula hutang baru. Saya ibu tunggal yang menanggung dua orang anak masih bersekolah. Kami perlukan belanja yang banyak dan
sekiranya nama saya disenaraikan dan diisytihar muflis, tambah tertekanlah kehidupan saya,” katanya yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini.
Dalam pada itu, ketika merujuk masalah berkenaan ke Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, Pengarahnya, Amir Hamzah Aziz menjelaskan, pihaknya akan memaklumkan perkara itu kepada Bank Negara bagi menjalankan siasatan.
“Menerusi bukti dokumen yang ada kita akan membawa perkara ini ke pengetahuan pihak terbabit termasuk membuat surat kepada bank agar tidak mengambil sebarang tindakan sementara proses siasatan,” katanya.
WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Disember 2014
Nota PH :
Orang kalau nak menipu ni macam-macam cara dia guna..Biasanya motif penipuan adalah disebabkan duit...Betul Nabi kata, di akhir zaman ini penipuan adalah menjadi sumber pendapatan...Sebab itulah Nabi tak suka umatnya miskin kerana miskin itu menuju kekufuran...Kasihan kepada mereka yang teraniaya...Mesti terkejut kan...?? Tetiber jer jadi bankrap padahal loan pun tak pernah buat..Ni semua kes jual nama...
Berhati2lah yer...PH berpesan kepada kalian dan juga diri sendiri...