Pemilik nama Ustaz Don Daniyal ialah antara pendakwah bebas
yang terkenal di Malaysia kerana kelainan cara penyampaian beliau ketika
berceramah.
Pernah menuntut di Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir,
Ustaz Don mula dikenali ramai ketika diberi peluang mengendalikan rancangan 30
Minit Bersama Ustaz Don di saluran TV AL-HIJRAH.
Antara karakter beliau yang turut menarik minat orang ramai
dari pelbagai peringkat umur ialah kemesraannya bersama masyarakat selain
seorang yang senang didekati, ramah dan tidak lokek dengan ilmu.
Berikut ialah ringkasan biodata Ustaz Don Daniyal:
Nama : Don Daniyal Don Biyajid
Nama Panggilan : Ustaz Don
Tarikh lahir : 14 November 1984
Tempat lahir : Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Pekerjaan : Pensyarah dan pendakwah bebas bertauliah di
Pulau Pinang dan Selangor (KUIS)
Status : Berkahwin dengan Husna Zahry Rafie dan dikurniakan
seorang cahaya mata bernama Don Mustofa
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari
Maahad Qiraat Shoubra, Mesir
Rancangan TV Ustaz Don : 30 Minit Bersama Ustaz Don (TV
AL-HIJRAH)
Dipetik dari portal Harian Metro, kami kongsikan serba
sedikit kisah kehidupan Ustaz Don:
Pada penghujung 2010, sahabatnya, Kamarul Zaman, bekas
kakitangan TV AlHijrah memperkenalkannya kepada seorang produser stesen itu yang
kebetulan sedang mencari seorang ustaz untuk mengendalikan program baru.
Selepas uji bakat, beliau terpilih mengendalikan program
Ihya Ramadan sebanyak 20 episod, yang menyaksikan pelbagai reaksi positif
penonton.
Rentetan itu, katanya, lahirlah idea untuk menerbitkan 30
Minit Ustaz Don yang pada awalnya menggunakan judul Tazkirah Ustaz Don. Program
berbentuk kuliah interaktif itu sebagai kesinambungan kejayaan Ihya Ramadan.
Dengan penampilan beliau yang sering kelihatan berjubah,
berserban dan selendang di bahu kanan, tidak bererti beliau menolak pakaian
kasual.
“Ulama terkenal, Allahyarham Ustaz Yusof Rawa sangat menjaga
penampilannya ketika berada di khalayak sehingga pernah menerima duta
keterampilan. Ini bermakna, kebebasan bergaya sememangnya ada asalkan tidak
keluar daripada landasan Islam. Saya pun bukanlah ke sana sini mengenakan jubah
dan serban, ikut kesesuaian juga.
“Jika bermain boling misalnya, takkan hendak berjubah? Ada
masa saya selesa memakai sut dan pakaian formal,” katanya.
Zaman kanak-kanak
Detik kejayaan hidup seseorang pasti ada kaitan dengan
asuhan ketika kecil, cara mereka dibesarkan selain pergaulan sekeliling. Akui
Ustaz Don, beliau dilahirkan dalam keluarga yang sederhana iaitu ibunya seorang
kerani dan bapanya pula, pembantu makmal.
“Seingat saya, emak dan ayah mahukan anak pertama lelaki
tetapi yang sulung perempuan. Jadi apabila lahirnya saya, emak pernah kata dia
menyebut ‘Fisabilillah’. Fisabilillah ini pernah disebut datuk Nabi Isa a.s.
ketika kelahirannya. Ada kisah menarik di sebalik ungkapan ini.
“Kalau tidak silap saya, ketika berusia tiga hari, bapa
membawa saya bertemu gurunya, juga Pengasas Pondok Bagan Lalang, Pulau Pinang,
untuk mendapatkan keberkatan.
“Menyingkap cara saya dibesarkan sama seperti kanak-kanak
lain. Pernah dulu Profesor Dr Muhaya Mohamad datang menemu bual emak saya,
apakah rahsia emak dalam mendidik saya dan adik-beradik yang lain. Saya pun tak
tahu bila temu bual itu dibuat.
“Dalam temu bual itu, emak memaklumkan dia mengambil
keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian untuk menyusukan
saya sehingga genap dua tahun.
“Jika saya menangis mahukan susu pada waktu malam, ayah saya
akan turut sama bangun membancuh susu untuk emak sebelum emak menyusukan saya,”
katanya.
Dalam petikan temu bual itu turut menyebut, ayah Ustaz Don
tidak membenarkan emaknya menyusu sambil berbaring. Sebaliknya, ayahnya akan
menyediakan belakang badannya untuk emak bersandar menyusukan anak sambil
duduk dan memastikan keselesaan semasa menyusu.
Akui mengagumi pengorbanan kedua-dua orang tuanya itu, Ustaz
Don semasa kecil sering mengikuti bapanya ke masjid untuk menunaikan solat dan
mendengar ceramah agama.
Anak kedua daripada empat beradik itu mendapat pendidikan
awal di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sewaktu di sekolah menengah, dia adalah
pelajar aliran sains.
“Saya bukanlah pelajar cemerlang cuma setakat sedang-sedang
saja. Peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, saya cuma memperoleh 4A saja. Sewaktu
mengikuti pengajian peringkat Diploma di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat
Pulau Pinang, kemudian Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat di Mesir, saya
antara pelajar yang selalu dapat tempat kedua atau ketiga terakhir (ketawa).
“Saya mula minat menghafaz al-Quran selepas tamat SPM (Sijil
Pelajaran Malaysia). Al-Quran sangat istimewa dan hanya akan ‘duduk’ dengan
siapa yang ia mahu. Ada orang belajar sedari umur empat tahun untuk menghafal
al-Quran, tetapi masih tidak mampu melakukannya.
“Wallahualam… apa yang saya tahu mereka yang mendapat
kelebihan adalah orang yang menyayangi al-Quran.
“Seperkara lagi, sejak dulu saya selalu patuh kepada
kata-kata guru. Menghormati guru nescaya kita akan mendapat keberkatan dalam
pelajaran.
“Saya masih ingat ketika bersekolah rendah, saya ada seorang
guru, Ustaz Sheikh Redha Salim Ali yang kini sudah meninggal dunia. Setiap pagi
saya berjalan ke rumahnya selama 30 minit dan apabila balik dari sekolah, kalau
kawan-kawan mahu temankan ustaz pulang, dia akan kata: “Aku nak balik dengan
Don.” Ustaz saya itu buta, jadi saya pimpin tangannya setiap kali pergi dan
balik sekolah,” katanya.
TRIVIA
Surah yang sering atau dibaca… Surah Al-Kahfi.
Pendakwah dikagumi… ramai, salah seorangnya Datuk Dr Haron
Din.
Setelah bergelar bapa…. Mahu mendidik anak seperti
Rasulullah s.a.w. walaupun mustahil, tetapi berharap dapat menjadi ayah yang
baik seperti ayah saya.
Jenama kacamata pilihan… Rayban.
Kumpulan muzik yang diminati… Linkin Park. Menurut Ustaz Don,
sebahagian lirik lagu kumpulan itu yang dibacanya tidak keterlaluan dan ada
yang berunsur kehidupan dan kemanusiaan.
Sumber :
http://www.harianblogger.com/