Belitung: Tumpahan minyak ditemui di perairan Belitung dan sepasukan anggota dari Badan SAR Nasional (BASARNAS) dalam perjalanan ke lokasi berkenaan untuk memastikan sama ada tumpahan minyak itu datang dari pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia yang hilang semalam ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.
Metronews melaporkan, Pengarah Komunikasi BASARNAS, Sutono berkata, wujud kemungkinan tumpahan minyak itu adalah milik kapal laut yang sering menggunakan laluan laut di wilayah Selatan Kalimatan itu.
Katanya, tumpahan minyak itu ditemui di radius 90 darjah dari Belitung dengan jarak 168 meter.
"Kita dalam perjalanan ke lokasi berkenaan dengan helikopter dan pesawat," katanya.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tidak ada pengesahan yang tumpahan minyak itu adalah milik pesawat berkenaan berikutan tumpahan minyak itu berada di selatan Kalimatan yang biasanya padat dengan laluan kapal laut.
"Kita belum dapat memastikan kebenarannya berikutan ia adalah laluan pelayaran," katanya.
Katanya, wujud juga berita mengenai penemuan dua signal ELT yang lemah beberapa jam yang lalu namun pemeriksaan oleh pasukan SAR dengan peralatan berteknologi tinggi gagal menemui sebarang signal di lokasi yang dinyatakan ataupun petanda ia dari pesawat QZ8501.
"Kalau memang ada signal, sudah pasti Basarnas tahu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:32 PM